suria

Kedah Tuan Rumah Kejohanan Merentas Desa MSSM

ALOR SETAR: Kejohanan merentas desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-11 di sini pada 3 Mac depan akan disertai 480 peserta mewakili semua negeri dari seluruh negara.

Pengerusi Siaraya dan Publisiti kejohanan, Ibrahim Mat Isa berkata kejohanan itu dibahagi kepada kategori lelaki dan perempuan bawah 15 dan 18 tahun, masing-masing sejauh 6 dan 8 kilometer.

Menurutnya perlumbaan akan bermula di Muzium Padi, Gunung Keriang dekat sini dan berakhir di Pusat Sains bersebelahan muzium tersebut.

"Ini merupakan kali pertama Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) dipilih sebagai tuan rumah bagi merebut piala pusingan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Rafie Maahad," kata Ibrahim kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau yang juga pengerusi Siaraya dan Publisiti kejohanan merentas desa MSSK berkata satu kejohanan bagi memilih wakil Kedah ke kejohanan MSSM akan berlangsung di tempat sama pada 11 Februari ini.

Kejohanan merentas desa peringkat MSSK ini dijangka disertai 256 peserta lelaki dan perempuan bawah umur 15 dan 18 tahun yang mewakili lapan daerah pentadbiran Jabatan Pelajaran Kedah, katanya.

Ibrahim berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir menyampaikan Anugerah Sukan Milo pada 1 Mac di sini sebelum kejohanan merentas desa MSSM berlangsung. - BERNAMA

Artikel Lain