suria

Pemecatan Pemain Perkara Biasa: Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan pemecatan pemain ataupun jurulatih bola sepak dalam sesebuah pasukan adalah perkara biasa dalam arena bola sepak.

Beliau berkata pemecatan pemain import Zacharia Simukonda daripada pasukan T-Team adalah mengikut peraturan sebagaimana tercatat dalam kontrak pemain berkenaan.

"Tidak timbul sama sekali soal wajar atau tidak wajar, bila dia main tidak bagus kita kena pecatlah," katanya.

Ahmad berkata setiap pasukan, termasuk T-Team apabila mengambil pemain import mengharapkan yang terbaik untuk mencari kemenangan dan ia bukan satu eksperimen.

Sebelum ini, beliau telah memberitahu pihak pengurusan T-Team supaya mencari pemain import terbaik dan tidak terlalu bergantung dan mengharapkan ejen.

"Atau kita bergantung kepada video, sedangkan video itu tahun bila kita tidak tahu," katanya.

Ahmad berkata lebih malang kalau pihak pengurusan mengambil pemain import yang mengalami kecederaan atau tidak cergas, menyebabkan prestasi pasukan merosot.

Semalam, jurulatih T-Team Yunus Alif mengesahkan kontrak Simukonda bakal ditamatkan dalam masa terdekat prestasi hambar dan kecederaan yang dialami pemain Zambia itu.

Ekoran daripada itu, T-Team akan menguji beberapa pemain import baru daripada beberapa buah negara dalam masa terdekat bagi menggantikan Simukonda.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka pendaftaran pemain import sehingga 13 Feb ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain