suria

Sembilan Lubang Pertama Padang Golf Bukit Jambul Dibuka Mulai Rabu

GEORGE TOWN: Taiyo Resort (KL) Bhd menyasarkan kerja menaik taraf padang golf Bukit Jambul Country Club (BJCC) di sini siap tahun ini, setahun lebih awal daripada jadual asal.

Pengarah Urusan Taiyo, Datuk Eiro Sakamoto berkata sembilan lubang pertama daripada keseluruhan 18 lubang telah siap dan akan dibuka kepada ahli dan orang awam mulai esok.

"Kerja menaik taraf padang golf 18 lubang ini menelan belanja kira-kira RM6 juta," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Pada November 2010, Taiyo menandatangani perjanjian dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan anak syarikat PDC, Island Golf Properties Bhd (IGP), untuk mengambil alih pengurusan dan operasi BJCC untuk selama 20 tahun.

Di bawah perjanjian itu juga, Taiyo akan menyiapkan kerja menaik taraf padang golf itu menjelang 2013.

Sakamoto berkata menerusi kerja menaik taraf itu, lapangan berkenaan akan dijadikan lapangan berbugi yang kini bugi hanya boleh digunaan di laluannya sahaja.

"Bugi-bugi baru akan dibawa untuk kegunaan pemain, bagi membawa mereka ke padang," katanya.

Beliau berkata syarikat berkenaan akan membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk membeli 120 buah bugi baru.

"Kami faham kepentingan bagi kelab untuk menarik pemain golf luar negara ke Pulau Pinang dan peranannya dalam mempromosi pelancongan," kata Sakamoto. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain