PUTRAJAYA: Keputusan siasatan mengenai insiden membabitkan pelumba basikal negara Mariana Mohamad yang dirempuh sebuah kereta semasa menjalani sesi pemilihan untuk Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC), dijangka diketahui minggu depan.Ketua Polis Putrajaya Superintenden Abdul Razak Abd Majid berkata polis sudah mengambil keterangan pemandu kereta terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemalangan. "Keputusan mungkin boleh kita ketahui minggu depan, dan buat masa ini, pemandu wanita berusia 54 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi, Selasa.Dalam kejadian Sabtu lepas, Mariana patah lengan dan cedera rusuk serta lutut kanan.Pelumba elit wanita kebangsaan Masziyaton Mohd Radzi dan dua pelumba pelapis kebangsaan, Ahmad Azri Ahmad dan Abdul Azizi Zahid, pula cedera ringan di tangan serta jari. - BERNAMA