suria

Parizam Dan Siti Norhalimi Dinobat Olahragawan Dan Olahragawati MAKSAK 2011

PUTRAJAYA: Pemain golf Mohamad Parizam Abd Karim dari Terengganu dan pemain futsal Siti Norhalimi Hussain dari Kuala Lumpur masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2011 di sini, malam Selasa.

Selain itu, pemanah negara Cheng Chu Sian dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pemain boling padang Siti Zalina Ahmad dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masing-masing memenangi Anugerah Khas MAKSAK.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, merangkap Yang Dpertua MAKSAK.

Dalam ucapan pada majlis itu, Mohd Sidek berkata penglibatan dalam aktiviti MAKSAK dapat membantu melahirkan penjawat awam yang berdaya saing dan mengawal tekanan.

Beliau berkata penyertaan secara aktif dalam bidang sukan juga dapat melahirkan tenaga kerja yang sihat, berwawasan dan berminda progresif.

"Penjawat awam juga hendaklah menggunakan segala kemudahan sukan yang ada secara optimum dan ambil peluang mengembangkan bakat sukan dalam diri masing-masing," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain