suria

Inkues Kematian Pengurus Wales Gary Speed Diberitahu Mendiang Hantar Sms Ancam Bunuh Diri Empat Hari Sebelum Kejadian

CHESHIRE (UK): Satu inkues yang diadakan untuk menentukan punca kematian pengurus pasukan kebangsaan Wales, Gary Speed 27 November tahun lalu mendapati, mendiang telah mengirim satu mesej pesanan ringkas (SMS) mengancam untuk membunuh diri empat hari sebelum kejadian itu benar-benar berlaku.

Bagaimanapun menurut isterinya Louise, mesej itu tidak diendahkan kerana pada masa yang sama mereka juga berbicara tentang masa depan.

Louise, bagaimanapun memberitahu inkues tersebut, sepanjang perkahwinan, mereka telah melalui saat-saat yang mengembirakan dan juga mendukacitakan.

Beliau juga mengakui mereka telah berselisih faham pada malam sebelum Speed memutuskan untuk mengambil nyawanya sendiri.

Namun begitu walaupun isteri mendiang telah menyatakan peristiwa sms ugutan bunuh diri dan juga pertengkaran yang berlaku di antara mereka berdua tetapi pihak koroner berpendapat ia masih belum kukuh untuk memutuskan sama ada Gary Speed memang berhasrat untuk membunuh dirinya sendiri atau ia berpunca dari kemalangan.

Koroner Cheshire, Nicholas Rheinberg, bagaimanapun mengesahkan bahawa punca kematian Speed adalah kerana lemas tergantung.

Inkues itu dimaklumkan bahawa mayat Speed ditemui tergantung pada alang tangga di garaj rumah mereka di pekan Huntington, Cheshire oleh isterinya Louise pada pagi 27 November 2011.

Petang sebelum kejadian, pasangan tersebut telah keluar ke satu majlis makan malam dan ketika pulang mereka telah bertengkar.

Louise juga memberitahu inkues tersebut, selepas berlakunya pertengkaran itu dia memutuskan untuk keluar dari rumah tetapi hasratnya itu dihalang oleh Speed dengan berdiri di hadapan pintu rumah dan memintanya jangan berbuat demikian.

"Saya pun terus naik ke bilik atas dan baring di atas katil untuk selama 10 minit. Selepas itu saya memutuskan untuk keluar memandu untuk menenangkan fikiran saya yang kusut," jelasnya.

Selepas beberapa ketika dia memutuskan untuk menelefon suaminya tetapi tidak berjawab.

"Selepas itu saya pulang dan saya dapati kunci telah berkunci dari dalam. Tidak dapat masuk saya memutuskan untuk tidur di dalam kereta di hadapan rumah. Saya tertidur sehinggalah saya sedar pada lebih kurang jam 6 pagi dan terus ke bilik air yang terdapat di luar rumah,” ceritanya lagi.

Kemudian kata Louise dia dapati kunci bangsal mereka tidak ada di dalam bilik air tersebut lalu pergi ke sana untuk memeriksanya.

Bagaimanapun Louise berkata suaminya tidak ada di situ dan kemudian dia pergi melihat di garaj pula.

“Bila saya melihat melalui tingkap kaca garaj saya melihat dia tergantung di situ dan saya terus menangis," kata Louise sebelum bergegas mendapatkan anak-anaknya dan menelefon nombor kecemasan untuk mendapatkan pertolongan.

Atas nasihat kakitangan perkhidmatan kecemasan, Louise berkata dia memotong tali yang menjerut leher suaminya itu sebelum pasukan paramedik tiba lapan minit kemudian.

Anggota paramedik yang terlibat dalam operasi menyelamat itu mengesahkan kepada inkues bahawa mangsa sudah pun kelihatan kebiru-biruan dan sejuk ketika mereka tiba tetapi menghabiskan masa lebih kurang 20 minit untuk memberikan bantuan kecemasan dan pernafasan dengan harapan dapat memulihkan mangsa.

Kepada satu pertanyaan, Louise mengesahkan bahawa tidak ada nota membunuh diri yang ditinggalkan oleh suaminya melainkan teks sms empat hari sebelum kejadian yang mengancam untuk membunuh diri.

Louise mengakui bahawa terdapatnya tekanan dalam perhubungan mereka tetapi sedang berusaha untuk memperbetulkannya.

Sehari sebelum kematian Speed, mendiang telah muncul dalam rancangan sukan BBC 1 bersama-sama seorang lagi rakan sepasukannya iaitu Gary Mcallister dan mereka kelihatan sangat ceria dan Speed tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda sedang bermurung atau berada di dalam tekanan.

Artikel Berikut

Artikel Lain