suria

Razif Bidas BAM Tidak Pilih Juara Remaja Dunia Untuk Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih badminton negara, Razif Sidek membidas keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menyenaraikan juara remaja dunia Zulfadli Zulkiffli di dalam skuad kelayakan Piala Thomas.

Katanya, Zulfadli sepatutnya diberi peluang mewakili negara pada kejohanan kelayakan itu dari 13 hingga 19 Februari ini di Macau.

Razif memberitahu Bernama TV dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa pemain muda itu sepatutnya pergi bersama-sama dengan pasukan Piala Thomas ke Macau supaya dapat menimba pengalaman di kejohanan besar dan berprestij itu.

"Sekurang-kurangnya dia dapat melihat betapa senangnya, betapa sukarnya untuk bermain semasa pertandingan Piala Thomas. Seharusnya diberi peluang.

"Tak kira dia mewakili kelab KLRC ke apa ke, seharusnya BAM membuka pintu,membuka laluan kepada pemain-pemain ini, saya percaya dengan kehadirannya,sekurangnya-kurangnya in the near future Zulfadli adalah salah satunya pemain perseorangan kita yang benar-benar berbakat dan boleh mengegarkan dunia di kemudian hari," katanya.

Zulfadli, yang kini berada di ranking ke-125 dunia dan kedudukan ke-dua remaja dunia, tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan, sebaliknya BAM memilih Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Mohd Arif Abdul Latiff.

Razif yang merupakan anggota skuad Malaysia yang memenangi Piala Thomas dengan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Negara pada 1992, berkata pemain-pemain yang dipilih BAM bukan antara yang terbaik.

Katanya, ini sekaligus menyukarkan Malaysia untuk layak ke final Piala Thomas dari 20 hingga 27 Mei ini.

Jurulatih Zulfadli, Zulkiffli Sidek yang juga bapanya, turut mempersoalkan bagaimana BAM membuat pilihan para pemain untuk skuad negara sehingga meminggirkan anaknya yang menang juara remaja dunia di Taiwan dan juara remaja Asia di India tahun lepas.

"Kenapa tidak dia (BAM) bagi Zulfadli yang juara Asia dan juara dunia? Tapi pihak BAM sendiri yang putuskan, kita sebagai orang luar tak boleh putuskan apa-apa...itu bergantung kepada BAM sendiri yang membuat pemilihan, kata beliau.

Zulfadli, bagaimanapun akur dengan keputusan BAM yang tidak menyediakan satu slot baginya di Macau.

"Yang slot untuk pemain simpanan tu, BAM bagi untuk backup-backup (pemain pelapis) tahun 2008, pemain seperti Arif Latif, dia naib juara Remaja Asia, dia layak untuk main.

"Tahun 2010 pun pemain pelapis BAM dan kalau ikutkan memang saya layaklah untuk pemain simpanan. Tapi BAM cakap saya masih muda dan belum berpengalaman so bagi saya itu belum rezeki saya untuk main Thomas Cup lagilah," katanya.

Zulfadli berkata tumpuannya kini adalah untuk beraksi dalam kejohanan berprestij All England dan juga beberapa kejohanan lain untuk memperbaiki ranking dunianya.

"Saya akan main Selangor Open dulu, itu yang pertama, dan lepas tu saya akan ke Terbuka Jerman, All England dan Swiss (Open)," tambahnya.

Pasukan Piala Thomas negara akan memulakan latihan pusat Isnin ini di Bukit Kiara, disusuli latihan di Sabah dari 6 hingga 10 Feb.- BERNAMA

Artikel Lain