suria

PDRM Rampas Tangga Teratas Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas tangga teratas Liga Perdana daripada Pahang selepas mengalahkan Perlis 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam Jumaat.

Pahang akan bertemu dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan tunggal Liga Perdana pada 3 Feb ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Khairul Izuan Abdullah menjadi wira pasukan polis apabila menjaringkan keempat-empat gol pada min-24, 27, 55 dan 87 manakala dua gol Perlis dijaringkan oleh Mohd Rizal Mohd Ghazali seawal minit ketiga dan Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zawawi menambah gol kedua pada minit ke-17.

MP Muar turut mencatatkan kemenangan selepas membelasah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC), 5-2 di Stadium Sultan Ibrahim, Muar.

Mohd Alafi Mahmud menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-51 dan min-71.

Tiga lagi gol pasukan MP Muar dijaringkan oleh Mohamad Syaiful Sabtu (min-76), Mohd Azuwad Mohd Arip (min-90) dan Abdul Rayjal Abdul Jalil seminit kemudian pada masa tambahan manakala dua gol MBJB dijaringkan oleh Azmi Sarmin menerusi sepakan penalti pada min-9 dan min-92.

Johor mencatatkan kemenangan tipis dengan mengalahkan Sime Darby FC, 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Pasukan pelawat mengejutkan Johor menerusi jaringan pemain importnya dari Liberia Sengbah Kennedy seawal kelima permainan sebelum dibalas dengan dua jaringan masing-masing oleh Fahruzzahar Ali selang tujuh minit kemudian (min-13) dan Mohd Hamzani Omar (min-54).

Universiti Sains Malaysia FC (USM FC) mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Harimau Muda B di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang.

S. Veenod menjaringkan dua gol untuk USM (min-36 dan 60) dan Muhammad Faizad Ghazali pada min-57 manakala gol saguhati pelawat dijaringkan oleh Mohd Norhamizaref Hamid seawal ketujuh.

Pos Malaysia kalah 2-3 kepada pasukan kelab dari Negeri Sembilan, Betaria FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Sementara itu dalam perlawanan tunggal Liga Super malam Jumaat, Selangor PKNS sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 ke atas Sabah di Stadium MBPJ.

Dua gol PKNS dijaringkan oleh pemain importnya dari Perancis Mickael Nicoise Joseph pada min-44 dan 53 manakala Sabah menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Australia Michael William Baird pada min-74 dan jaringan sendiri Mohd Helmi Remeli pada min-82. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain