suria

Keputusan Sampel B Diketahui Minggu Depan: Dr Ramlan

PUTRAJAYA: Keputusan sampel B bagi dua atlet negara yang sebelum ini diuji positif dalam ujian anti-doping ketika Sukan SEA di Indonesia,akan diketahui minggu depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz.

Beliau berkata kelewatan keputusan sampel B disebabkan prosedur yang perlu dijalankan oleh pihak makmal.

"Tidak perlu risau mengapa keputusan sampel B masih tidak diperolehi kerana biasanya makmal akan analisis sebarang keputusan yang diperolehi dengan beberapa langkah bagi memastikan kesahihan keputusan yang diperolehi," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dr Ramlan berkata beliau dimaklumkan ujian anti-doping bagi sampel dari Sukan SEA itu dihantar ke makmal di Bangkok, Thailand.

Selain Bangkok, makmal anti-doping juga terdapat di New Delhi, India.

"Tidak menjadi masalah jika sampel B diproses di Bangkok atau New Delhi kerana kedua-dua makmal itu diiktiraf oleh Agensi Anti-Doping Dunia (Wada)," katanya.

Dua atlet negara itu yang didapati positif ujian anti-doping sampel A, meraih pingat dalam acara sukan olahraga dan angkat berat di sukan tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain