suria

Pertemuan T-Team, Selangor Dijangka Menarik

KUALA TERENGGANU: Pertemuan antara pasukan T-Team dan Selangor dijangka menarik apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada Sabtu malam.

Jurulatih pasukan T-Team Yunus Alif berkata, sama ada T-Team mahupun Selangor masing-masing tahu teknik antara satu sama lain yang membuatkan perlawanan dijangka seimbang dan menarik.

"Sama-sama kuat dan sama-sama tahu kelebihan dan kelemahan pemain masing-masing," kata Yunus ketika diminta mengulas mengenai pertemuan kedua-dua pasukan malam Sabtu.

Yunus berkata beliau tidak khuatir dan bimbang pasukannya menghadapi gergasi Lembah Klang malam esok kerana T-Team pernah mengalahkan pasukan itu empat kali dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia tahun lepas.

Tambahan pula, dengan kehadiran Fazli Shaari bekas pemain Selangor, ia menguatkan lagi kedudukan T-Team untuk memungut mata penuh daripada perlawanan itu nanti, katanya.

Yunus berkata beliau akan membuat pemilihan di antara Alif Alias dan Hassan Basri untuk mengambil tempat Shahril Fazli bagi mengukuhkan bahagian pertahanan kanan.

Shahril telah dilayang kad merah semasa T-Team menentang Terengganu di sini Sabtu lepas, menyebabkannya digantung dua perlawanan.

Yunus berkata ketua pasukan T-Team Rosdi Talib yang baru pulih dari demam kemungkinan akan diturunkan jika keadaannya memuaskan.

"Apa yang saya harapkan ialah persembahan terbaik daripada anak buah saya di samping tidak melakukan kesilapan mudah bagi mengelak T-Team menerima padah," katanya.

Yunus berkata, kemenangan bagi T-Team malam esok penting untuk menyuntik semangat bagi menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya.-BERNAMA

Artikel Lain