suria

Terengganu Catat Sejarah Dalam LTdL 2012

Pengarah Pengurusan Sukan MSN, Datuk Ab Jalil Abdullah menerima replika cek bernilai RM 1 juta daripada Kerajaan Negeri Terengganu yang disampaikan oleh Ahmad (kanan).
Pengarah Pengurusan Sukan MSN, Datuk Ab Jalil Abdullah menerima replika cek bernilai RM 1 juta daripada Kerajaan Negeri Terengganu yang disampaikan oleh Ahmad (kanan).
Pengarah Pengurusan Sukan MSN, Datuk Ab Jalil Abdullah menerima replika cek bernilai RM 1 juta daripada Kerajaan Negeri Terengganu yang disampaikan oleh Ahmad (kanan).

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama sebagai tuan rumah pada edisi ke-17 Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan bermula daripada 24 Februari hingga 4 Mac ini.

Buat kali pertama juga, jelajah berstatus 2.HC pada kalendar perlumbaan UCI ini turut berubah berbanding tradisinya, bukan saja ditamatkan di luar Kuala Lumpur buat kali pertama, tetapi juga menerima tajaan RM1 juta daripada Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadi tuan rumah pada tiga peringkat terakhir di negeri itu.

Ia sama seperti konsep di Tour de France ìGrand DÈpartî di mana lokasi permulaan jelajah terbesar itu dibuka untuk tawaran setiap tahun dan pernah diadakan di Monaco, London, Dubln, Brussel dan Amsterdam.

Walaupun laluan Tour de France berubah setiap tahun, perlumbaan itu sentiasa berakhir di Paris di sepanjang Champs-Élysées.

Pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah pada tiga peringkat terakhir bermula di lokasi penamat di Chukai pada laluan Peringkat 8 sejauh 100.8km dari Pekan, Pahang pada 2 Mac; diikuti lokasi permulaan dan penamat Peringkat 9 dari Kemasik ke Kuala Terengganu sejauh 165.7km dan peringkat terakhir yang juga berbeza berbanding penamat tradisi kriterium apabila bermula dari Tasik Kenyir di mana peringkat sejauh 114.8km itu akan menyaksikan peloton mengelilingi tiga pusingan sirkit di sekitar bandar Kuala Terengganu sebelum berakhir di Dataran Syahbandar.

Menjadi tuan rumah buat kali pertama dianggap sebagai pengiktirafan terhadap negeri itu atas usahanya menjadi tulang belakang dalam pembangunan sukan itu di negara ini, dengan melahirkan ramai pelumba berbakat termasuk bintang trek kebangsaan Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, selain pelumba lebuh raya seperti Anuar Manan, Adiq Husainie Othman dan Harrif Salleh.

Negeri Terengganu juga menaja satu-satunya pasukan profesional di negara ini - Terengganu Cycling Team, pasukan bertaraf benua UCI.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam ucapannya, berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana memberi peluang buat Terengganu menjadi salah satu daripada penaja terbesar dalam jelajah kali ini.

“Penganjur sebenarnya memberikan lebih daripada apa yang kami jangkakan kerana dalam perbincangan yang diadakan di Nilai tahun lalu, mereka hanya menjanjikan satu peringkat, sama ada di lokasi permulaan atau lokasi penamat.

"Tetapi KBS mengambil langkah lebih besar apabila memberi kami peluang menjadi tuan rumah kepada dua setengah peringkat, jadi tawaran ini cukup sukar untuk ditolak. Saya berterima kasih kepada penganjur atas peluang besar ini,” katanya.

Ahmad juga mengumumkan sempena Le Tour de Langkawi, Terengganu juga akan menganjurkan Bulan Berbasikal di seluruh negeri ini dan beberapa siri Yellow Ride sebagai acara bagi menyemarakkan jelajah ini, manakala di lokasi penamat di Dataran Syahbandar di Kuala Terengganu, akan diadakan karnival yang bermula seminggu sebelum peringkat terakhir.

Perlumbaan 10 hari itu akan bermula dengan acara Ujian Masa Individu sejauh 20.3 kilometer di Putrajaya; diikuti Peringkat 2 Putrajaya - Melaka (151.0km); Peringkat 3 Ayer Keroh - Parit Sulong (187.6km); Batu Pahat - Muar (169.4km); Ayer Keroh - Pandan Indah (190km); Proton Shah Alam - Genting Highlands (108km); Bentong - Kuantan (205.8km); Pekan - Chukai (100.8km); Kemasik - Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir - Kuala Terengganu (114.8km).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain