suria

Sukma 2012: Melaka Sasar 31 Emas

MELAKA: Melaka menyasarkan kutipan 31 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia 2012 (Sukma) di Pahang, Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan Melaka Datuk Gan Tian Loo berkata sasaran itu berdasarkan persiapan rapi kontinjen Melaka bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

"Kita percaya dengan usaha gigih daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri yang telah memberi banyak sumbangan dan tenaga, ia dapat dicapai dengan jayanya," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Untuk Semua Peringkat Negeri Melaka di sini, Khamis.

Beliau berkata Melaka kini memiliki infrastruktur yang cukup dan serba moden bagi atlet menjalankan latihan sekaligus meningkatkan mutu persembahan dan bilangan pungutan pingat.

Katanya kontinjen Melaka akan mengambil bahagian dalam 21 daripada 24 acara yang dipertandingkan pada Sukma 2012 melibatkan 390 atlet termasuk pegawai.

Pada Sukma 2010 di Melaka, kontinjen tuan rumah memungut 32 pingat emas dalam 34 acara yang disertai.

Sementara itu, pada majlis itu, sebanyak lima anugerah diberikan kepada individu yang banyak menyumbang dalam pembangunan sukan di Melaka terdiri daripada anugerah Persatuan, Penggerak dan Sukarelawan, Keluarga Aktif, Pemimpin Wanita dan Tokoh.

Antara penerima anugerah tersebut ialah atlet bina badan, Datuk Gan Boon Leong bagi anugerah Tokoh dan jurulatih pasukan bola keranjang kerusi roda Malaysia, M. Vidagiri (Penggerak dan Sukarelawan). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain