suria

Powerlifting Terbuka Malaysia Peluang Rebut Tiket Ke London

KUALA LUMPUR: Kejohanan Powerlifting Terbuka Malaysia yang akan berlangsung selama lima hari bermula 5 Feb ini di Stadium Titiwangsa di sini, perlu dijadikan medan atlet negara meraih tiket ke Olimpik London.

Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia Kamaruzaman Kadir berkata kejohanan itu merupakan antara yang terakhir yang menawarkan mata ranking untuk ke temasya sukan terbesar dunia pada Ogos.

"Melalui kejohanan yang disokong oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) ini, atlet-atlet powerlifting negara perlu mengambil kesempatan dengan mempamerkan persembahan terbaik mereka bagi mencerahkan peluang ke London nanti.

"Bagi kejohanan kali ini, kita akan menghantar seramai lapan peserta termasuk tiga wanita," katanya.

Kejohanan dijangka disertai 110 atlet powerlifting dari 16 negara, melibatkan 18 kategori termasuk lapan kategori wanita mengikut jenis kecacatan atlet.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah 48 kg, 75 kg dan lebih 100 kg untuk lelaki; 44 kg, 82 kg serta lebih 82.5 kg bagi wanita.

Kamaruzaman yang juga Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia berkata pada masa ini, atlet powerlifting dari seluruh dunia belum mengetahui peluang mereka ke Olimpik, memandangkan IPC akan hanya bersidang pada Mac ini bagi menentukan atlet yang layak.

"Mata ranking yang dipungut oleh atlet powerlifting pada kejohanan yang disokong oleh IPC akan dikira dari 2009 sehingga penghujung Feb ini dan 15 atlet dengan mata tertinggi akan mendapat tempat ke Olimpik menerusi persidangan yang dijangka diadakan pada Mac depan," katanya.

Pencapaian terbaik skuad powerlifting negara ialah menerusi Cheok Kon Fatt yang memenangi pingat perak dalam kategori lelaki 52 kg pada Sukan Paralimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain