suria

Kejohanan Angkat Berat Elit Asia Pentas Ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat negara disaran supaya menjadikan Kejohanan Angkat Berat Elit Asia di Pyeongtaek, Korea dari 22 hingga 30 April ini sebagai pentas untuk mengutip mata sebanyak mungkin bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik London.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Zafarul Akbar Kassim berkata kejohanan selama sembilan hari tersebut merupakan kejohanan kelayakan terakhir untuk atlet angkat berat Asia meraih tiket ke Olimpik.

"Kita akan menghantar pasukan seramai 15 atlet yang terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita, bagi mengumpul lebih banyak mata untuk memudahkan atlet kita melayakkan diri ke Olimpik," katanya.

PABM menyandarkan harapan kepada dua atlet iaitu pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 di India, Aricco Jumitih bagi menyertai kategori 62kg dan Mohd Hafifi Mansor dalam acara 69kg.

"Kita melihat kedua-dua mereka berpotensi untuk membuat kejutan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik berdasarkan persembahan mantap yang dipamerkan oleh mereka dalam beberapa kejohanan lepas," katanya.

Zafarul berkata para atlet kini giat menjalani latihan intensif di gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

"Kita juga sedang merancang untuk mengadakan latihan di luar negara dalam waktu terdekat dan kita sedang melakukan perbincangan dengan pihak MSN bagi menentukan kesesuaian tempat latihan dari segi cuaca di negara berkenaan," katanya.

Zafarul berkata PABM juga akan mengadakan mesyuarat peringkat jawatankuasa kerja dengan MSN bagi membincangkan penyertaan atlet angkat berat negara dalam beberapa kejohanan sepanjang tahun ini.

Pencapaian terbaik skuad angkat berat negara pada Olimpik ialah menerusi Amirul Hamizan Ibrahim yang menduduki tangga kelapan dalam kategori 56kg pada Sukan Beijing 2008.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain