suria

Tenis Wanita Terbuka M'Sia 2013 Akan Diadakan Di Pulau Langkawi

KUALA LUMPUR: Edisi keempat Kejohanan Tenis Wanita Terbuka Malaysia tahun depan bakal berubah lokasi ke Pulau Langkawi, Kedah bagi memantapkan penganjuran sukan tenis negara di samping tarikan baru kejohanan tahunan tersebut.

Kejohanan tersebut merupakan siri jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) yang menampilkan 32 pemain perseorangan utama dunia dan 16 beregu dalam format kalah-mati.

Edisi ketiga tahun ini akan berlangsung dari 27 Februari hingga 4 Mac di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort di sini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Ibrahim Abu Bakar berkata, Pulau Langkawi dipilih sebagai venue kejohanan tahun depan kerana pulau tersebut berpotensi membawa masuk peminat sukan tenis tempatan mahupun antarabangsa di samping mempromosikan pulau peranginan tersebut.

"Sudah tiba masanya kita ubah selera membuat penanjuran di Langkawi tahun depan kerana Kuala Lumpur sering kali dipilih menjadi lokasi kejohanan.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga sebagai penaung kepada kejohanan tenis wanita Terbuka Malaysia.

Katanya, Dr Mahathir merupakan penyokong kuat dalam membawa acara kejohanan sukan antarabangsa ke Malaysia.

Dalam perkembangan lain, pihak LTAM akan mengadakan pemilihan mencari dua pemain perseorangan 'wildcard' wanita ke kejohanan Terbuka Malaysia bermula awal bulan depan di Kompleks Sukan Tenis Jalan Duta.

LTAM diberi peluang oleh WTA untuk mengemukakan dua pemain tempatan pada pusingan kelayakan kejohanan itu dan pemilihan akan dilakukan di kalangan pemain elit negara.

"Kami lihat antara nama pemain yang dijangka menyerlah ialah Jawairiah Noordin dan dia kini sedang berlatih di Pulau Pinang dibawah kendalian bapanya," katanya. Ibrahim berkata, LTAM turut meminta satu lagi tiket 'wildcard' untuk acara beregu wanita daripada WTA namun pihaknya masih menunggu jawapan daripada badan induk pemain professional wanita dunia itu.

Kejohanan tahun ini, bekas pemain nombor satu dunia, Venus Williams dari Amerika Syarikat adalah antara tiga pemain utama bakal menjadi tarikan utama pada kejohanan ini.

Selain Williams, kejohanan bernilai US$220,000 (RM689,484) itu turut menarik penyertaan pemain nombor sembilan dunia, Marion Bartoli dari Perancis dan bintang meningkat dari China, Peng Shuai. - BERNAMA

Artikel Lain