suria

Musa Noor Dilantik Presiden Pertama MTFCA

KUALA LUMPUR: Penubuhan Persatuan Jurulatih-Jurulatih Olahraga Malaysia (MTFCA) bukan bertujuan untuk membelakangi atau bersaing dengan pihak tertentu yang turut bertanggungjawab dalam membangunkan sukan olahraga di negara ini.

Sebaliknya, Presiden MTFCA Musa Noor Mohd berkata persatuan baru itu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dan terbuka kepada sebarang cadangan demi kepentingan bidang kejurulatihan sukan itu.

MTFCA merupakan sebuah badan yang bertujuan mengumpul, memantau dan menilai prestasi jurulatih olahraga di negara ini serta mendapat sokongan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Bagi mencapai objektif persatuan, kami sedia meneliti sebarang cadangan dari mana-mana pihak demi kepentingan sukan olahraga," katanya yang dilantik sebagai presiden pada mesyuarat agung pertama persatuan itu di Dewan Komanwel, MSN, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Selain presiden, turut dilantik Timbalan Presiden Mohd Manshahar Abdul Jalil, tiga naib presiden yang terdiri daripada Mejar Mazlan Abdul Malik, bekas atlet negara S. Muthiah dan Lau Chin Meng serta sembilan ahli jawatankuasa.

Musa berkata penubuhan persatuan itu disokong KOM meskipun tiada wakil kesatuan itu hadir pada mesyuarat agung itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menjemput Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menghadiri majlis tersebut tetapi beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis mempunyai program di negerinya.

Sementara itu, wakil Pengarah Bahagian Atlet MSN, Shapawi Ismail berkata penubuhan MTFCA merupakan satu perkembangan yang baik untuk sukan olahraga.

"MSN sememangnya mengalu-alukan persatuan sebegini. Selain menjadi platform untuk jaga kebajian jurulatih, sebarang pendapat atau luahan masalah (daripada mereka) dapat diutarakan menerusi saluran yang betul," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain