suria

Piala Presiden: Terengganu Mahu Jadikan Pulau Pinang Mangsa Pertama

KUALA TERENGGANU: Terengganu berazam untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai mangsa pertama apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan bola sepak Piala Presiden di sini, 2 Februari ini.

Jurulatih Zakari Alias berkata bagi kemenangan Terengganu itu penting bagi menyuntik semangat pemain untuk menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya.

"Kita sudah bersiap sedia, cuma menunggu masa sahaja," katanya kepada pemberita mengenai perlawanan 4.45 petang di padang bola Gong Badak itu.

Beliau berkata walaupun Terengganu kehilangan lima pemain tonggak kerana menyertai pasukan Harimau Muda B, namun kehebatan pasukan tidak terjejas.

Pemain-pemain itu ialah Alif Shafiq Suhaimi, Mohd Radhi Mohd Yusof, Wan Ahmad Amir Safran Wan Moris (pertahanan), Mohd Hafiza Alias (midfield) dan Ilham Amirullah Razali (penjaga gol).

Bagaimanapun, Zakari berkata pasukan Piala Presiden Terengganu agak terubat apabila dua bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Syed Sobri Syed Omar dan Shahami Asha'ari turut memperkuat pasukan itu.

"Kedua-dua pemain itu memperkemaskan bahagian tengah dan serangan," katanya.

Beliau berkata daripada 25 pemain yang disenaraikan untuk Piala Presiden tahun ini, 10 orang adalah pemain tahun lalu manakala selebihnya muka-muka baru.

Katanya Terengganu yang telah membuat persediaan sejak tiga bulan lalu mensasarkan empat pasukan terbaik tahun ini setelah kecewa di peringkat kumpulan tahun lepas.

Beliau berkata padang bola Gong Badak menjadi gelanggang utama Piala Presiden Terengganu tahun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain