suria

Kedah Bakal Gugur Dua Pemain Import Gagal Menyerlah

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bakal menyingkirkan dua importnya yang tidak menyerlah dan gagal membantu pasukan itu mencipta gol kemenangan dalam empat perlawanan Liga Super 2012.

Dua import Kedah dari Brazil, Daniel Soares Neves Baroni yang bermain di posisi tengah gagal beraksi dengan baik manakala Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo tidak dapat beraksi kerana kecederaan pada kaki dan terpaksa berehat selama tiga bulan.

Pengurus Pasukan Datuk Khazali Din berkata keputusan itu akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi kerana pihaknya sedang melakukan proses mencari pemain baru dari Afrika Selatan dan Korea.

"Kita fokus kepada pemain di bahagian serangan dan pertahanan bagi memantapkan pasukan Kedah. Kita lihat sekarang mereka main bagus tetapi tidak ada sebarang jaringan gol," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam Sabtu.

Katanya KFA akan berusaha sedaya upaya mencari pemain import yang berkualiti sebelum 14 Feb bagi membolehkan pasukan itu merancakkan kempen Liga Malaysia tahun ini.

Pemain pertahanan Danilo Rafael sebelum ini mewakili kelab Brothers Union FC, Bangladesh dan Daniel Soares yang mewakili Cruzeiro E. Clube, Brazil dipilih berdasarkan prestasi cemerlang mereka sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha yang kecewa dengan prestasi anak buahnya berkata pihaknya bakal merombak semula posisi pemain dalam masa terdekat.

Beliau berkata pemain berpengalaman seperti Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Badrol Bakhtiar juga gagal menyerlah kerana tidak berada pada posisi sebenar iaitu sayap kiri dan kanan ekoran tidak ada pemain di bahagian serangan.

Pada perlawanan malam tadi Kedah kalah 0-3 kepada Kelantan di hadapan lebih 15,000 penyokongnya hasil jaringan dua pemain import Kelantan Mohammed Mahmoud Ghaddar, minit ke-35 dan Danny Atwi minit ke-90 serta Norshahrul Idlan Talaha minit ke-78.

Dalam empat perlawanan sebelum ini, Kedah gagal mencipta sebarang kemenangan apabila dua kali tewas dan dua lagi sekadar seri tanpa jaringan.

Sementara itu, lebih 2,000 penyokong pasukan Kedah berhimpun di luar Stadium Darul Aman mendesak pihak pengurusan KFA terutamanya Khazali meletak jawatan serta merta.

Mereka berbuat demikian ekoran prestasi hambar pemain Kedah yang gagal mencipta sebarang kemenangan seperti yang diharapkan peminat tahun ini dan menyatakan KFA bertanggungjawab terhadap perkara ini.

Khazali berkata beliau akan meletak jawatan sebagai pengurus pasukan itu sekiranya pihak pengurusan tertinggi KFA mengarahkannya untuk berbuat demikian.

"Saya bukan main bola tetapi hanya menguruskan pasukan dan saya bukan cari makan dengan bola. Saya bekerja secara sukarela dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk menguruskan pasukan ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain