suria

Pelumba MotoGP Kembali Ke Sepang

KUALA LUMPUR: Pelumba motoGP akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk ujian rasmi pertama MotoGP pada 31 Jan hingga 2 Feb.

Ia merupakan yang kali pertama pelumba-pelumba berkenaan kembali ke litar Sepang selepas kematian tragis pelumba San Carlo Honda Gresini, Marco Simoncelli, Oktober lepas semasa MotoGP Malaysia.

"MotoGP akan kembeli dan aksi bermula di sini di Sepang. Dan, musim baru nampaknya sudah bersedia untuk menjadi yang paling menarik dan penuh emosi," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali dalam kenyataan di sini Khamis.

Kematian Simoncelli disebabkan kecederaan di kepala, leher dan dada selepas terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan akhir kejohanan itu.

Beliau berkata reputasi SIC sebagai satu daripada beberapa litar yang dipilih sebagai litar rasmi untuk ujian MotoGP adalah bukti kepada ciri-ciri keselamatan dan spesifikasi teknikal litar yang baik.

Antara pelumba utama yang akan kembali ke Sepang ialah pelumba Itali Valentino Rossi dengan motosikalnya Ducati, penyandang juara pelumba Honda Casey Stoner dari Australia dan pelumba Sepanyol Dani Pedrosa.

"Ujian rasmi juga akan memberi peluang kepada peminat melihat pelumba dan jentera baru mereka untuk musim baru," katanya.

Ahmad Razlan bekata sempena sesi ujian pramusim MotoGP di SIC, tempat duduk grandstand akan dibuka kepada peminat untuk menontonnya secara percuma dan menikmati promosi tiket awal bagi Grand Prix Motosikal Malaysia 2012.

Untuk keterangan lanjut boleh melayari laman web www.sepangcircuit.com. - BERNAMA

Artikel Berikut

Cisse Sarung Jersi Newcastle

Artikel Lain