suria

Suod Minta Anak Didik Tunjukkan Aksi Terbaik

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad pelapis kebangsaan Suod Hussain tidak meletakkan sasaran tinggi kepada anak didiknya pada Kejohanan Berbasikal Remaja Asia Ke-19 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, di sini dari 8 hingga 18 Februari ini.

Beliau sebaliknya menuntut skuad yang rata-rata dibarisi pelajar sekolah berusia antara 17 dan 18 tahun itu untuk mempamerkan aksi terbaik mereka pada kejohanan tahunan anjuran Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

"Saya tidak meletakkan sasaran tinggi untuk kutipan pingat memandangkan saya tidak pernah melihat aksi pelumba junior dari kuasa basikal Asia iaitu Jepun, Korea dan Hong Kong di pentas antarabangsa yang turut serta pada kejohanan ini," katanya.

Suod berkata skuad pelapis wanita kebangsaan kini hanya mempunyai empat wakil iaitu Lauretta Eva Adrian, Ummi Hamimah Mohamad, Nurul Nadia Mohd Fauzi dan Noor Azian Maslin Sazali, disebabkan masalah had umur.

"Peraturan kejohanan hanya membenarkan peserta berumur antara 17 dan 18 tahun beraksi dan saya akan menyenaraikan dua daripada skuad wanita kita untuk acara pecut dan selebihnya untuk acara perlumbaan lasak," katanya.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi kejohanan tersebut, Suod berkata beliau bersama jurulatih bagi acara pecut Junaidi Mohamad Nasir kini memantau latihan pusat 18 pelumba pelapis kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kesemua mereka dikumpulkan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini tetapi saya hanya akan menyenaraikan nama-nama pelumba berpotensi yang mampu menghasilkan pingat untuk negara," katanya.

Antara pencapaian terbaik yang diraih skuad pelapis pada kejohanan tersebut ialah menerusi pelumba lelaki Mohd Arfy Qhairant Amran yang memperoleh tiga pingat termasuk sebutir emas dalam acara pecut individu lelaki junior di Korat, Thailand, tahun lepas.

Selain itu, pelumba trek elit Jupha Somnet turut menampilkan prestasi cemerlang di negara Gajah Putih itu dengan membawa pulang lima pingat iaitu empat perak bagi acara 500 meter ujian masa individu remaja wanita, scratch, pecut berpasukan wanita, kejar mengejar berpasukan wanita serta sebutir gangsa menerusi acara keirin.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain