suria

Kim Swee Panggil Enam Muka Baru Jalani Latihan Pusat

KUALA LUMPUR: Enam muka baru merupakan antara 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad Olimpik kebangsaan Ong Kim Swee bagi menjalani latihan pusat sebagai persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Olimpik 2012 pusingan ketiga menentang Bahrain di Manama pada 5 Februari ini.

Mereka ialah Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul (Selangor PKNS), Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Shahril Sa`ari, Mohd Azizan Nordin, Wan Ahmad Amirzafran Wan Madris dari Harimau Muda A.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, kesemua 25 pemain tersebut dikehendaki melaporkan diri kepada Kim Swee pada 25 Jan ini di Hotel Grand BlueWave, Shah Alam.

Latihan pusat akan diadakan dari 25-28 Jan di Wisma FAM dan dari 29-31 Jan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Skuad Olimpik kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan C kalah tiga perlawanan awal menentang Jepun, 0-2, 0-2 kepada Syria dan 2-3 kepada Bahrain.

Selepas Bahrain, skuad yang turut dikenali dengan nama skuad bawah 22 tahun kebangsaan itu akan menentang Jepun pada 22 Feb di laman sendiri sebelum menutup aksi kelayakan Olimpik menentang Syria di tempat lawan pada 14 Mac.

Skuad bola sepak kebangsaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali pertama di Munich, Jerman pada 1972 namun gagal melepasi peringkat kumpulan.

Selepas itu, skuad tersebut melayakkan diri buat kali kedua pada Sukan Olimpik di Moscow, Rusia pada 1980 namun tidak menyertainya kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain