suria

Perlis Sedia Jadi Penganjur Sukma 2014

KANGAR: Perlis bersedia menjadi penganjur Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dan akan menjadikan pengalaman sebagai penganjur acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa untuk merealisasikannya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Abdul Jamil Saad berkata Perlis mempunyai kemudahan dan venue sukan yang berhampiran antara satu dengan lain akan memudahkan pengurusan temasya sukan itu berjalan lancar.

Berucap pada majlis kecemerlangan sukan negeri Perlis di Dewan Residensi di sini pada Isnin, beliau berkata Perlis bukan sahaja berazam untuk menjadi penganjur terbaik tetapi juga melahirkan atlet hebat melalui temasya sukan itu.

Mengenai keraguan pihak tertentu tentang keupayaan Perlis sebagai tuan rumah Sukma 2014, beliau berkata kerajaan negeri berpengalaman mengendalikan pelbagai acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa dengan lancar dan sempurna.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong penganjuran sukan di Perlis dan ini terbukti menerusi kejayaan penganjuran kejohanan seperti sukan perahu layar kebangsaan di Empangan Timah Tasoh yang disertai pasukan jemputan dari Indonesia dan Singapura.

Penganjuran sukan itu membuktikan Perlis berupaya menyediakan venue acara perahu layar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain