suria

Pasukan Negara Berkayuh Ke KL Untuk Latihan Akhir LTdL

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal negara akan memulakan kayuhan dari sini ke Kuala Lumpur Sabtu ini untuk memulakan latihan fasa empat dengan melalui beberapa destinasi yang mencabar.

Jurulatihnya Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata kayuhan pertama akan bermula dari sini ke Rantau Panjang, Kelantan diikuti Rantau Panjang-Grik, Perak, Grik-Ipoh dan Ipoh-Kuala Lumpur.

"Keseluruhan kayuhan ini melibatkan jarak sejauh kira-kira 740 kilometer," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada latihan pasukan negara untuk menghadapi kejohanan lumba basikal Le Tour d Langkawi (LTdL) pada 24 Feb hingga 3 Mac dan Kejohanan Lumba Basikal Asia (AFC) dari 14 hingga 18 Feb.

Pasukan negara diwakili 11 pelumba lelaki untuk kejohanan LTdL dan AFC dan lapan pelumba wanita untuk kejohanan AFC.

Syed Mohd Hussaini berkata latihan fasa keempat dan terakhir yang akan dijalankan di Kuala Lumpur akan tertumpu kepada latihan bebanan jarak dekat dan kepantasan kayuhan.

"Mereka berada di tahap prestasi yang terbaik, namun kita hendak cari kelemahan untuk diatasi dalam latihan seterusnya nanti supaya pasukan negara lebih mantap," katanya.

Setelah menjalani latihan hampir sebulan yang lalu di daerah Hulu Terengganu, beliau berkata pelumba-pelumba menampakkan kemajuan yang amat memberangsangkan.

Beliau berkata Hulu Terengganu dipilih sebagai destinasi latihan pasukan negara kerana kawasan tersebut mempunyai banyak kawasan berbukit selain menjadi laluan LTdL.

Syed Mohd Hussaini berharap pasukan negara akan membuat kejutan dalam LTdL yang dijangka disertai banyak pasukan profesional dari luar nagara. - BERENAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain