suria

Harimau Muda B Sasar Mara Ke Separauh Akhir Kejohanan Jemputan Serantau

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda B hanya disasarkan untuk mara ke peringkat separuh akhir pada dua kejohanan jemputan serantau yang berlangsung bulan depan, kata ketua jurulatih pasukan Ismail Ibrahim.

Dua kejohanan tersebut ialah Kejohanan Tiga Penjuru di Singapura dari 17-21 Feb dan Kejohanan Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) di Bandar Seri Begawan, Brunei dari 25 Feb hingga 5 Mac depan.

Bekas pemain Selangor itu berkata sasaran berkenaan adalah realistik memandangkan sebahagian besar pemain skuad tersebut musim ini merupakan muka baru yang diambil daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan skuad Piala Presiden Negeri.

"Sebahagian besar pemain merupakan pemain baru dan mereka masih dalam proses mencari keserasian permainan antara satu sama lain dan kita berharap melalui beberapa perlawanan yang kita lalui musim ini dapat mematangkan permainan mereka," katanya.

Pasukan yang turut dikenali dengan nama skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu mengalami beberapa perubahan ekoran perpindahan pemainnya seperti Mohd Nazmi Faiz Mansor dan D. Saarvindran ke Harimau Muda A dan Ahmad Faizal Sumar serta Muhd Nazrul Kamaruzzaman yang menyertai skuad Piala Presiden Selangor.

Bagaimanapun skuad tersebut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain baru seperti Muhd Ilham Amirullah Razali dan Mohd Ridzuan Abdullah Pula dari SSBJ dan Mohd Akid Ramli dari skuad Piala Presiden Kelantan.

Ismail turut berharap barisan pemain barunya dapat mempamerkan aksi yang memberangsangkan pada kedua-dua kejohanan tersebut.

"Kita telah memulakan latihan sejak 17 Dis lepas disebabkan sebahagian mereka baru sahaja menghabiskan peperiksaan dan kombinasi mereka masih belum mantap.

"Saya akan membawa 18 pemain untuk dua kejohanan tersebut dan saya ingin melihat kemajuan dari segi permainan mereka pada kedua-dua kejohanan tersebut," katanya.

Pasukan itu yang turut bersaing dalam Liga Premier mencatatkan dua kekalahan awal musim ini apabila tewas 1-2 kepada Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Isnin sebelum tewas 0-4 kepada Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Pencapaian terbaik skuad tersebut dalam kejohanan HBT ialah mara ke peringkat separuh akhir pada 2002 dan 2007 namun tewas masing-masing 0-1 kepada Indonesia dan 0-2 kepada Myanmar manakala pada 2005 mereka gagal di peringkat kumpulan.

Kejohanan Tiga Penjuru merupakan penyertaan sulung mereka.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain