KUALA TERENGGANU: Penantian penuh debar penyokong dan peminat bola sepak Terengganu akan nasib pasukan kesayangan mereka reda apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berlembut berhubung kontroversi pemain import pasukan dari pantai timur itu.Ketika menegaskan demikian, Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata Peteh menghargai dan berasa bangga dengan sikap profesional FAM itu. "Mewakili semua rakyat negeri Terengganu, Peteh mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana bersikap profesional dengan mendengar keluhan badan-badan gabungannya," katanya.Kontroversi membabitkan FAM dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bermula apabila Terengganu menandatangani kontrak dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil berdasarkan surat pekeliling bertarikh 23 Dis yang dikeluarkan FAM kepada pasukan itu.Lebih kontroversi apabila Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mahu menyaman FAM atas kekeliruan yang timbul pada surat pekeliling itu.Lantaran kekeliruan itu, Ahmad dengan nada keras mengemukakan tiga pilihan kepada FAM dengan dua daripadanya meminta bayaran ganti rugi atau membenarkan dua pemain import itu beraksi bersama Terengganu dalam Liga Super.Wan Mohd Azmi berkata penyokong dan peminat bola sepak Terengganu berasa lega dan gembira apabila masalah yang membelenggu pasukan Terengganu berakhir."Kami akan dapat melihat permainan yang bermutu dan tidak bermasalah daripada dua pasukan yang mewakili Terengganu dalam Liga Super iaitu pasukan Terengganu dan T-Team," katanya.Sementara itu, Pengerusi PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata PBSNT menunggu keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat bermesyuarat sebelum pemain import Terengganu boleh bermain."Kita tidak tahu mesyuarat itu akan diadakan bila... kita kena tunggulah. Sebelum jawatankuasa itu lulus, mana-mana pemain import tidak boleh bermain," katanya.Che Mat, yang juga pengurus pasukan bola sepak Terengganu, berkata buat masa ini, juara Piala FA 2011 itu menggunakan tenaga pemain tempatan untuk menghadapi kejohanan itu. - BERNAMA