suria

Liga Hoki Remaja Tawar Ganjaran Lumayan

KUALA LUMPUR: Liga Hoki Remaja MHC-Milo-NSC 2012 yang bermula Khamis ini menawarkan ganjaran hadiah lebih lumayan dari musim sebelum ini, kata Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad.

"Tahun ini kita menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM145,000 berbanding RM80,500 yang diberikan pada musim lepas. Boleh dikatakan pertambahan itu adalah kira-kira 80 peratus.

"Di samping itu, kita juga akan memberi tambahan subsidi kepada pasukan- pasukan yang menyertai Liga Hoki Remaja kali ini.

"Sebelum ini, setiap pasukan yang bertanding akan menerima RM1,500," katanya pada sidang media mengenai liga hoki berkenaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Pada majlis itu, Nur Azmi bagi pihak MHC menerima penajaan daripada Milo iaitu sumbangan wang tunai berjumlah RM250,000 serta barangan.

Liga Hoki Remaja MHC-Milo-NSC 2012 akan melibatkan sejumlah 26 pasukan dari Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada sembilan pasukan Divisyen Satu dan 17 pasukan Divisyen Dua.

Dengan pertambahan jumlah wang keseluruhan untuk tahun ini, juara keseluruhan akan menerima peningkatan RM5,000 daripada RM20,000 yang diterima tahun lepas, manakala juara divisyen satu akan menerima RM15,000 (RM10,000) dan juara divisyen dua akan menerima RM12,000 (RM7,000).

Selain daripada itu, hadiah-hadiah khas -- pemain terbaik, pemain terbaik perlawanan akhir, penjaga gol terbaik -- masing-masing akan menerima habuan berjumlah RM1,500 berbanding RM500 sebelum ini.

Hadiah bagi Anugerah 'Fairplay' juga bertambah dari RM3,000 kepada RM4,000.

Sementara itu, dua pasukan tidak asing lagi dalam kancah Liga Hoki Remaja MHC-Milo-NSC, SSTMI Thunderbolts (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) dan UniKL Young Guns, masing-masing menyimpan hasrat untuk menjuarai liga berkenaan musim ini.

Bagi juara Divisyen Satu 2011, UniKL Young Guns telah memulakan program latihan dan pemilihan sebaik sahaja tamat musim pada Oktober tahun lepas, kata pengurus pasukan Amir Azhar.

"Kita bermula awal kerana kebanyakan pemain untuk tahun ini adalah pemain-pemain baru dan hanya enam pemain musim lepas yang bermain kali ini.

"Perlawanan pertama menentang Thunderbolt dalam perlawanan pembukaan adalah satu perlawanan penting bagi kami. Tahun lepas kita kecundang kepada mereka dengan penentuan pukulan penalti untuk tentukan juara keseluruhan. Kita akan cuba sekali lagi untuk mendapat kejuaraan berganda," katanya.

Sementara jurulatih Thunderbolt, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman pula sudah menjangkakan saingan sengit yang bakal diterima daripada UniKL Young Guns dan juga Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada musim ini.

"Impian kita tahun ini ialah untuk mendapat pencapaian yang lebih baik daripda tahun lepas. Untuk tujuan itu, kita telah memulakan latihan sejak Disember lepas dan dari segi saingan pula, kita sememangnya menjangka saingan sengit dari UniKL dan SSBJ," katanya.

Pasukan SSTMI Thunderbolts adalah juara keseluruhan Liga Hoki Remaja MHC-Milo-NSC 2011. -BERNAMA

Artikel Lain