suria

T-Team Tuntut Zacharia Simikounda Beri Persembahan Terbaik

KUALA TERENGGANU: Pasukan T-Team mahu pemain importnya Zacharia Simikounda memberikan persembahan terbaik ketika pasukan itu menentang Kuala Lumpur dalam pertandingan Liga Super di Stadium Hang Jebat Melaka pada Sabtu.

Jurulatih T-Team Yunus Alif berkata ini kerana pemain kelahiran Zambia itu tidak menunjukkan permainan sebagaimana diharapkan ketika T-Team bertemu Kedah di sini Selasa lepas.

"Kita mahu lihat Zacharia yang juga bekas pemain Perlis menunjukkan permainan sebenar dan seterusnya membantu T-Team memungut tiga mata penuh dalam perlawanan itu," katanya.

Yunus berkata T-Team sedar Kuala Lumpur tidak akan memberi laluan mudah kepada T-Team kerana pasukan itu juga berazam tidak mahu menderita setelah terlepas tiga mata dalam perlawanan pembuka tirai Selasa lalu.

Beliau berkata T-Team lega apabila pemain pertahanan kirinya Norfazly Alias, yang menerima dua kad kuning semasa perlawanan separuh akhir Piala Malaysia tahun lalu, bebas daripada penggantungan dan boleh diturunkan membantu T-Team dalam perlawanan itu nanti.

Kehadiran Norfazly memang diharapkan memandangkan pemain pertahanan import T-Team Bojan Patric mengalami kecederaan buku lali ketika T-Team menentang Kedah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain