suria

PABN Aktifkan J/Kuasa Khas Hanya Selepas Terima Keputusan Ujian Sampel B

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan mengaktifkan jawatankuasa khas dalaman untuk menyiasat kes membabitkan atlet naungannya yang didapati positif ujian anti doping hanya selepas pihaknya menerima keputusan ujian sampel B tidak lama lagi, kata Presiden PABM Zafarul Akbar Kassim.

Menerusi jawatankuasa khas dalaman itu nanti, Zafarul berkata pihaknya akan cuba mengenal pasti sejauh mana atlet naungannya benar-benar mengambil dadah dan kemungkinan ada pihak tertentu yang menasihati atlet berkenaan untuk berbuat demikian.

Justeru, PABM tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan mana-mana pegawai atau jurulatihnya yang didapati terbabit dalam salah guna dadah itu, katanya ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24, semalam.

Beliau bekata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan yang akan diambil terhadap seorang atlet angkat berat Malaysia di Sukan Sea Indonesia pada November lepas yang sampel A daripadanya didapati positif ujian anti doping.

Sementara itu dalam temu ramah yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata masalah atlet sukan negara terbabit dalam aktiviti salah guna dadah tidak berada pada tahap yang membimbangkan.

Katanya ia masih berada pada keadaan terkawal, bahkan bilangan atlet yang terbabit dalam aktiviti sedemikian adalah rendah.

Ramlan turut menegaskan ISN akan sentiasa berwaspada dengan ancaman salah guna dadah dalam kalangan atlet sukan negara bagi mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih parah.

Sambil menyifatkan ancaman salah guna dadah akan sentiasa ada, beliau berkata segala kelemahan khususnya daripada aspek kerjasama antara persatuan-persatuan sukan yang kelihatan longgar sejak sekian lama, akan diperbaiki.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain