suria

Mohd Amli, Wilson Choo Muncul Pendahulu Pusingan Pembukaan

KUALA LUMPUR: Mohd Amli Mohiyaddin dan Wilson Choo melakukan kejutan awal apabila mendahului pusingan pembukaan Kejohanan Golf PGM Sime Darby Harvard Classic di Kelab Golf & Country Harvard di Gurun, Kedah, Rabu.

Kedua-dua pemain yang masih belum melakarkan nama dalam siri Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) masing-masing mencipta pukulan lima bawah par 67 untuk mendahului pusingan pertama dengan kelebihan satu pukulan.

Menurut kenyataan PGM, Mohd Amli membenam enam birdie di lubang ketiga, ketujuh, kesembilan, 12, 13, dan lubang ke-15 dan satu bogey di lubang kedua.

Manakala Choo pula mencipta tujuh birdie dan dua bogey di lubang ketujuh dan ke-16.

Tiga pemain Khor Kheng Hwai, Shaifubari Muda dan juara PGM Lanjut Classic S. Murthy, mengejar dua pemain pendahulu itu dengan ketinggalan satu pukulan.

Khor juga melakukan pukulan 'hole-in-one' pada lubang keempat par tiga sejauh 196 meter.

Keputusan Pusingan Pertama:-

67 - Mohd Amli Mohiyaddin, Wilson Choo; 68 - Khor Kheng Hwai, Shaifubari Muda, S. Murthy; 69 - Anis Helmi Hassan, Danny Chia; 70 - Haziq Hamizan, Md Rashid Ismail, Adam Shafiq, Mohd Nazri Mohd Zain, Nicholas Pua, Chan Soo Keong, Solhairy Sharif; 71 - Mohd Iszaimi, Azman Basharuddin, Shaaban Hussin, P. Gunasagaran, Airil Rizman Zahari, M. Rizal Amin; 72 - R. Nachimuthu, Sukree Othman, Philip Tan, Zurie Harun, Ong Jay Vie (A). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain