suria

LTDL Tidak Semestinya Libatkan Langkawi - COO LTDL 2012

KUALA LUMPUR: Perlumbaan berbasikal jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) kini sudah menjadi satu jenama kepada acara berbasikal di rantau ini dan ia bukan satu masalah jika acara itu tidak dijalankan di tempat asalnya, kata Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2012 Emir Abdul Jalal. "Walau di mana pun acara ini diadakan, LTdL kini sudah jadi brand name yang cukup kuat di Asia. Tidak semestinya kalau kita tidak bermula di Langkawi, perlumbaan ini tidak boleh dikenali sebagai Le Tour de Langkawi," katanya dalam sidang media selepas majlis menerima penajaan untuk edisi perlumbaan tahun ini di ibu pejabat LTdL, Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, di sini, Khamis.

Turut sama pada majlis penajaan itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Pengarah Bahagian Pengurusan Acara Sukan MSN Datuk Abdul Jalil Abdullah.

Menurut Emir, melalui pengenalan konsep penajaan venue yang pertama kali diperkenalkan dalam penganjuran LTdL, kerajaan negeri Terengganu telah tampil mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

Konsep penajaan venue itu mengambil contoh konsep yang sama digunakan dalam penganjuran perlumbaan Tour de France.

"Untuk tahun ini, kita tidak melibatkan laluan Langkawi dan salah satu sebabnya kita mempunyai obligasi penajaan terhadap negeri Terengganu, di mana mereka memberi penajaan sebanyak RM1 juta kepada perlumbaan kali ini.

"Kita menukar sedikit laluan kali ini dan memberi kelebihan kepada negeri Terengganu. Tahun ini, kita ada tiga peingkat perlumbaan di Terengganu," katanya.

Pada edisi kali ini, Terengganu akan menjadi hos kepada tiga peringkat perlumbaan iaitu peringkat kelapan dari Pekan, Pahang ke Chukai sejauh 100.8km, diikuti dua peringkat berikutnya iaitu Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km).

Mengenai penajaan untuk perlumbaan edisi ke-17, Emir berkata, setakat ini pihaknya telah menerima sejumlah RM5.8 juta dalam bentuk penajaan kewangan dan barangan.

"Kos keseluruhan penganjuran perlumbaan ialah sebanyak RM14 juta dan kita masih lagi menerima penajaan daripada syarikat-syarikat tempatan," katanya.

Pada majlis pada Khamis, perlumbaan LTdL menerima penajaan daripada Pearl Ray Sdn Bhd, Orang Kampung Corporation Sdn Bhd, Malaysian Building Society Berhad (MBSB) dan NexEdge Technology Sdn Bhd.

"Kita tahu penganjuran Le Tour de Langkawi sentiasa mendapat perhatian dan liputan meluas dari luar. Dan dengan adanya penajaan seperti ini akan memberikan kita selaku penganjur untuk memastikan kelancaran perlumbaan tahun ini," katanya.

LTdL 2012 dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), sebagai kesinambungan kepada penganjuran yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2010 dan 2011.

Perlumbaan 10 peringkat yang berlangsung dari 24 Feb hingga 4 Mac itu masih mengekalkan status 2.HC (Hors Classe) yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan UCI Asia Tour. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain