suria

PSSI Ikut Jejak Malaysia Tonjol Skuad Bawah 21 Tahun

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membentuk skuad Harimau Muda sehingga digeruni di rantau ini, kini Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pula berusaha menonjolkan skuad bawah 23 tahun mereka.

Akhbar internet Republika memetik Ketua Umum PSSI, Djohar Arifin Husin sebagai berkata pasukan Malaysia juga pernah mengalami krisis kemerosotan prestasi pada 2009 namun kemunculan skuad Harimau Muda berjaya mengembalikan kegemilangan arena bola sepak Malaysia.

Beliau berkata PSSI akan mempromosi pemain bawah 23 tahun negara itu yang akan menggunakan jersi utama pasukan kebangsaan republik itu, Garuda.

"Pemain muda itu akan memulakan aksi sulung di peringkat antarabangsa pada perlawanan akhir Kelayakan Piala Dunia 2014 dengan menentang Bahrain pada bulan depan.

"Skuad tersebut juga sebagai persiapan jangka panjang dan regenerasi (membina semula) pasukan kebangsaan," katanya.

Djohar Arifin berkata langkah tersebut akan menyebabkan pemain senior seperti Bambang Pamungkas (32 tahun), Firman Utina (31) dan Hamka Hamzah (28) terpaksa bersara awal dari skuad kebangsaan Indonesia untuk perlawanan antarabangsa.

PSSI sebaliknya akan mempromosi pemain muda seperti Andik Vermansyah (20 tahun, Abdul Rahman (23) atau Ferdinand Sinaga (23).

Beliau berkata regenerasi sangat penting kerana Indonesia kini ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara yang lain dan skuad Garuda kini tercicir di belakang Vietnam, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Skuad Harimau Muda berjaya mengembalikan kegemilangan arena bola sepak Malaysia dengan memenangi berturut-turut pingat emas Sukan SEA di Indonesia dan Laos serta muncul juara Piala AFF Suzuki pada 2010. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain