BAM Tumpu Misi Emas Olimpik Di London - Sukan | mStar

BAM Tumpu Misi Emas Olimpik Di London

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi keutamaan kepada Sukan Olimpik London pada Ogos ini bagi memastikan Datuk Lee Chong Wei meraih pingat emas.

Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata tumpuan lain oleh BAM ialah Kejohanan Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, kelayakan Piala Thomas Zon Asia di Macau bulan depan serta Kejohanan Badminton All-England pada Mac.

"Olimpik adalah sasaran kita...ini adalah peluang keemasan kepada BAM dan sukan badminton negara untuk mencuba meraih pingat emas yang pertama untuk negara dan kita akan berusaha sedaya upaya dengan melibatkan semua pihak bagi memastikan Chong Wei berjaya meraih pingat emas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Chong Wei yang melakukan kunjungan hormat ke atas isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung BAM, di kediaman Perdana Menteri di Jalan Duta, Rabu.

Turut hadir Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai, Pengurus Besar BAM Kenny Goh, ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek dan jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock.

Nadzmi berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengatur strategi baru untuk Chong Wei menghadapi lawannya menjelang Sukan Olimpik nanti.

"Kita akan menggunakan masa lima atau enam bulan ini untuk mempersiapkan Chong Wei dengan strategi baru menghadapi siapa sahaja lawan beliau pada Olimpik nanti," katanya.

Nadzmi berkata BAM sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Kerja Raya bagi mempercepatkan pembinaan Akademi Badminton Kebangsaan yang tertangguh beberapa kali sebelum ini.

"Kita terlewat sedikit kerana tapak yang diberikan kepada BAM bertukar beberapa kali menyebabkan perbelanjaan telah melebihi daripada peruntukan asal," katanya.

Penubuhan akademi itu diumumkan pada 2008 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan Konvensyen Sukan Kebangsaan. Peruntukan yang disediakan ialah RM24 juta.

Kementerian Belia dan Sukan setahun kemudian mengenal pasti satu tapak di Taman Maluri, Cheras, untuk dijadikan Pusat Kecemerlangan Badminton negara.

KBS pada 2010 memilih satu tapak baru yang dirasakan lebih sesuai di Jalan Cochrane juga di Cheras tetapi terpaksa melupakan hasrat berkenaan kerana nilai tanah seluas 3.3 hektar milik Jabatan Alam Sekitar itu sangat tinggi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek awal tahun lepas mengumumkan bahawa akademi itu akan dibina di Labu, Negeri Sembilan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain