suria

Hooligan Dahului Kemenangan Hari Pertama RLIR 2012

LANGKAWI: 'Hooligan' dari Australia diketuai Marcus Blackmore mendahului kemenangan hari pertama Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2012 dengan mencatat mata bersih dalam saingan utama kategori perlumbaan IRC, di sini, Selasa.

Selain menunjukkan kemahiran dan bakat mereka, keadaan laut tenang dengan kederasan angin antara lapan hingga 20 knot membolehkan 'Hooligan' maju ke depan memperoleh tiga mata dalam Harbour Race di Kelab Pelayaran Diraja Langkawi, Kuah, menerusi tiga kemenangan dalam tiga pusingan.

'Hooligan' adalah pemenang Piala Diraja Phuket di Thailand bulan lepas.

Pesaing terdekatnya,'Hi Fi' dari Hong Kong diketuai bekas pelayar Olympik Neil Pryde dari New Zealand menduduki tempat kedua selepas enam mata penalti bagi setiap perlumbaan.

Bagaimanapun, kemeriahan hari pertama perlumbaan adalah pecutan mula yang baik oleh 'Uranus' mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia diketuai oleh Mohamad Razali Mansor, yang berjaya menduduki tempat pertama perlumbaan kedua tetapi gagal di pusingan ketiga dengan hanya di tempat ketiga.

'Uranus' memperoleh 11 mata penalti menewaskan dua pasukan lain 'Utarid' juga daripada TLDM dipimpin oleh Ishak Jab (12 mata) dan 'Jelik II' dari Hong Kong dikepalai oleh Frank Pong (13 mata).

Mohamad Razali memberitahu pemberita dia akan mengekalkan cara pelayaran yang sama dan berharap berada dalam keadaan cuaca yang lebih baik.

"Kami bernasib baik di hari pertama tetapi pihak pencabar tentu akan meningkatkan jangkaan dan pertandingan pastinya akan lebih sukar. "Kami ada 14 anak kapal yang semuanya muka baru. Saya gembira dengan prestasi hari ini dan berdepan dengan tujuh lagi perlumbaan. Bernasib baik kerana tahun ini kami memiliki perahu layar baru yang ringan sedikit," katanya.

Semua peserta akan meneruskan saingan dalam acara Cabaran Laut Terbuka esok.

Sebanyak 36 pasukan dari 12 negara termasuk Jerman, England, Australia, Denmark, New Zealand, Hong Kong, Jepun dan Singapura mengambil bahagian dalam RLIR 2012 ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain