suria

Pemain Piala Emas Raja-Raja Pahang Dapat Bonus

KUANTAN: Skuad bola sepak Pahang yang berjaya merangkul Piala Emas Raja-Raja Ahad lepas, menerima bonus sumbangan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini, Sabtu.

Pengurusnya Datuk Mazran Abu Bakar berkata baginda berkenan memberi bonus sebanyak RM60,000 kepada pasukan Pahang yang berjaya mengakhiri kemarau piala berkenaan dengan menewaskan Melaka 3-1 di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, Ahad lepas.

"Selain itu Sultan Pahang (Sultan Ahmad Shah) sendiri turut berkenaan memberi hadiah kepada pasukan itu iaitu melancong ke Jakarta pada 22 hingga 25 Jan ini.

"Di sana kami akan mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan Pelita Jaya pada 23 Jan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata kemenangan itu juga merupakan satu petanda kebangkitan Pahang untuk terus melakar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Mazran berkata 11 pemain daripada pasukan Pahang yang menjuarai Piala Emas Raja-Raja itu telah diserapkan ke dalam pasukan Pahang bagi menempuh saingan Liga Perdana.

Pada perlawanan itu Pahang membenamkan Melaka 3-1 menerusi jaringan Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-35, Mohd Fauzi Rozlan (minit ke-76) dan Abd Malik Mat Ariff (minit ke-78) manakala gol Melaka dijaringkan Zailan Mohammad (minit ke-27).

Kali terakhir Pahang menjuarai Piala Emas Raja-Raja ialah pada tahun 1980 apabila menewaskan Perak 4-2. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain