suria

Pahang Harungi Liga Perdana Dengan Gandingan Pemain Lama dan Baru

KUANTAN: Pahang yang akan beraksi di Liga Perdana musim ini akan membariskan gabungan pemain lama dan baru termasuk seorang pemain import dari Ghana.

"Agak menggembirakan juga walaupun musim ini kita terpaksa beraksi di Liga Perdana, kita berjaya memperolehi pemain yang lebih mantap iaitu majoritinya gabungan antara pemain Pahang dan Shahzan Muda," kata ketua jurulatih Dollah Salleh pada majlis memperkenalkan pemain Pahang untuk musim ini, Jumaat.

Beliau berkata gandingan pemain lama dan baru tidak akan menggoyahkan skuad itu sebaliknya ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi untuk memantapkan skuad Pahang untuk pergi lebih jauh musim ini.

Pemain import yang diberi tanggungjawab untuk memperkuatkan jentera serangan Pahang ialah Nana Yaw, 26, yang merupakan pemain kelab Divisyen 1 di Ghana dan pernah menyertai pasukan belia antarabangsa bawah 23 tahun negara tersebut.

Dollah yakin beberapa pemainnya bakal menyerlah musim ini berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan mereka sepanjang perlawanan persahabatan sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Lain