suria

Kannathasan Nafi Atlet Dikaitkan Isu Doping

KUALA LUMPUR: Isu doping yang menyelubungi kuartet 4x400 meter terus menjadi tumpuan apabila salah seorang pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia acara tersebut S.Kannathasan menafikan bahawa beliau individu yang dimaksudkan.

Malah pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berharap keputusan ujian doping saringan kedua rakannya negatif agar pingat emas negara dapat dikekalkan.

"Saya terkejut ketika dikhabarkan berita ini oleh jurulatih (Hamberi Mahat) pada Selasa lepas.

"Ia bukannya saya. Malah saya terkilan dan bersimpati dengan masalah rakan saya ini dan biarlah keputusan rasmi menentukan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bukit Jalil pada Khamis.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa individu yang dimaksudkan.

Kannathasan berkata sekiranya ujian doping saringan kedua itu kekal positif, atlet berusia 21 tahun ini redha dengan keputusan tersebut dan tidak mahu menyalahkan sesiapa berhubung perkara tersebut.

"Kita bertanding atas semangat pasukan. Saya tahu kita berhempas pulas untuk memenangi pingat emas namun jika pingat emas Sukan SEA ini ditarik balik, saya hanya menganggap ia bukan rezeki kami," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap atlet yang dimaksudkan itu sabar menghadapi masalah ini.

Artikel Lain