suria

Safee Perlu Peka Dengan Keadaan Semasa Bola Sepak ISL - Hamidin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi peringatan kepada penyerang kebangsaan Safee Sali agar peka dengan keadaan semasa yang berlaku dalam Liga Super Indonesia (ISL) sekarang ini.

Ini kerana saingan ISL berkemungkinan besar diharamkan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) termasuk kelab Pelita Jaya FC yang diwakili penyerang kebangsaan itu.

"Saya harap Safee membuat keputusan bijak demi menjaga kariernya. Kita tidak mahu kehilangan permata berharga dimiliki negara gara-gara pengharaman ISL itu nanti.

"Malah kita (FAM) bersedia membawa pulang Safee ke Malaysia jika dia tidak berminat menyambung kontrak bersama pasukan itu yang dijangka tamat pada 31 Januari ini, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Rabu.

Mengenai pendaftaran bekas pemain Selangor kelahiran Kajang itu boleh dilakukan walaupun tarikh pendaftaran telah tutup, Hamidin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menjelaskan demi kepentingan pemain kebangsaan, Safee dibenarkan berbuat demikian.

Tarikh tutup pendaftaran pemain untuk Liga Malaysia tamat 8 Dis lepas.

"Kita tidak akan membiarkan bakat dan kemahiran Safee terperap begitu sahaja dengan ketiadaan aksi kompetitif selama empat bulan seandainya dia tidak lagi bersama Pelita Jaya.

"Sehubungan itu, kita akan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai pendaftaran Safee dalam Liga Malaysia dan ingin saya tegaskan, ia tidak melibatkan soal kepentingan kelab tetapi demi pasukan bola sepak Harimau Malaya," katanya.

Safee yang juga ketua pasukan Pelita Jaya dilapor ditawarkan kontrak baru selama dua tahun bersama kelab yang berpangkalan di Jawa Barat itu.

Hamidin berkata, penyerang berusia 28 tahun itu boleh bermain dengan mana-mana pasukan dalam liga tempatan kerana pendaftaran kedua untuk pemain akan kembali dibuka pada 2 April nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain