suria

Persatuan Sukan Perlu Ada Sikap Tanggungjawab - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) segera memberi penjelasan berhubung isu ujian doping yang melanda atletnya yang beraksi pada Sukan SEA di Indonesia, November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sikap mendiamkan diri kedua-dua persatuan sukan terbabit adalah tidak wajar kerana ia mencerminkan sikap sebenar mereka yang tidak mempunyai hala tuju.

"Sebagai badan yang memayungi atlet, mereka seharusnya perlu ada sikap tanggungjawab dengan segera mencari jalan penyelesaian dan tidak terus membiarkan perkara tersebut berlalu tanpa sebarang tindakan," katanya kepada pemberita dipejabatnya di Wisma KBS di sini Rabu.

Ahmad Shabery berkata, apa yang menimpa atlet olahraga dan angkat berat negara adalah sesuatu yang amat dikesali dan memalukan negara, lebih-lebih lagi atlet tersebut sebelum ini banyak menerima pujian daripada pucuk pimpinan negara termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan dua atlet negara yang meraih pingat daripada acara sukan olahraga dan angkat berat didapati positif ujian doping sample A oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (INASOC) pada 21 Disember lalu dan bakal berdepan dengan hukuman selepas ujian penentuan pada sample B.

"Saya harap pihak berkenaan khususnya KOM segera memberi jawapan sebenar dan tidak hanya berdiam diri tanpa sebarang tindakan seolah-olah perkara tersebut tidak penting," katanya.

Ahmad Shabery berkata, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah memaklumkan perkara tersebut kepada kedua-dua persatuan terbabit sejak dua minggu lepas.

"Sekiranya KOAM dan PABM terus memandang remeh terhadap isu tersebut yang boleh memalukan negara, saya sebagai Menteri Belia Dan Sukan tidak akan teragak-agak campur tangan dalam hal ini," katanya. Beliau berkata, sekiranya atlet terbabit didapati bersalah, KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) boleh bertindak menarik balik segala kemudahan seperti elaun dan pemberian Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang diterima oleh pemenang pingat emas tersebut.

"Namun jika persatuan yang didapati bersalah mereka boleh diambil tindakan menerusi pengadilan yang dibuat oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan," katanya.

Ahmad Shabery berkata, beliau telah menulis surat meminta penjelasan rasmi daripada kedua-dua persatuan terbabit dan berharap perkara tersebut dapat diselesaikan segera. Beliau berkata, persatuan sukan bukan hanya bertangggung jawab dalam soal pembangunan atlet tetapi sebagai 'bapa', mereka juga perlu melindungi atlet yang bernaung di bawahnya.

Pada temasya sukan dwi-tahunan tersebut Malaysia berjaya meraih 59 pingat emas, 50 perak dan 82 gangsa dan jika atlet olahraga dan angkat berat itu didapati bersalah ia akan menjejaskan jumlah pungutan kontinjen negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain