suria

PABM Tidak Akan Kompromi Penyalahgunaan Dadah Libatkan Atletnya

KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak akan berkompromi berhubung isu penyalahgunaan dadah berikutan kegagalan atlet mereka dalam ujian doping Sukan SEA di Indonesia November lepas.

Presidennya, Zafarul Akbar Kassim berkata beliau sendiri akan mengetuai siasatan persatuan berhubung laporan positif sampel A ujian doping oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (INASOC).

"Kita akan bertindak tegas. Sekiranya atlet terlibat dalam penyalahgunaan dadah, dia akan dihukum dan digantung.

"Malah, sekiranya ada bukti jurulatih terlibat dengan benda-benda yang tidak sihat ini, saya tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Khamis.

Sambil berkata keputusan sampel B akan diketahui minggu depan, beliau enggan mendedahkan identiti atlet angkat berat terbabit.

Zafarul juga berkata PABM tidak boleh menghukum selagi tidak ada kepastian dan berharap keputusan sampel B berpihak kepada atlet berkenaan, yang akan diberi peluang membela diri, jika perlu.

Dalam pada itu, mengenai surat yang dikeluarkan INASOC, Zafarul berkata beliau memberi reaksi segera sejurus menerima dokumen berkenaan, yang dipanjangkan oleh MOM, 22 Dis lalu.

"Bila saya mendapat panggilan daripada Datuk Sieh (Kok Chi) (Setiausaha Kehormat MOM) mengenai masalah ini, pada hemat saya, ia serius dan melibatkan maruah negara.

"Saya terus datang baca, fahami kandungan surat tersebut dan terus hubungi atlet berkenaan, dan kemudiannya terus membuat surat penjelasan pada hari yang sama kepada MOM," katanya.

Zafarul berkata, dalam surat itu, beliau meminta agar saringan sampel B dibuka bagi mencari kepastian berhubung isu tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain