suria

Kaji Peraturan Sedia Ada Untuk Mudahkan Pendaftaran Pemain Import Dalam Liga Super

IPOH: Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji peraturan dan undang-undang sedia ada bagi memudahkan pendaftaran pemain import dalam pertandingan Liga Super.

Bekas Naib Presiden FAM Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata kajian itu perlu bagi mengelakkan kegagalan pasukan mendaftar pemain import selepas tamat tempoh yang diberikan.

"Proses mengambil pemain memerlukan beberapa langkah seperti menilai, mendapatkan sijil perpindahan dan pelepasan dari pasukan terdahulu sebelum pemain diikat melalui kontrak bersama pasukan baru.

"Sekiranya berlaku kelewatan dalam proses ini akan menyebabkan pemain gagal didaftarkan dan akan merugikan pasukan kerana pemain telahpun menandatangani kontrak tetapi tidak boleh bermain," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya pengambilan pemain import dapat memberikan pendedahan kepada pemain tempatan untuk meningkatkan tahap dan mutu permainan bola sepak negara.

Raja Ahmad Zainuddin juga berkata setiap pasukan hendaklah memberikan persembahan terbaik dalam Liga Super yang akan bermula hujung minggu ini.

"Seperti kebiasaan, penonton akan membanjiri stadium sebaik bermula musim tetapi kegagalan pasukan memberikan persembahan terbaik akan menyebabkan penyokong mula 'angkat kaki'.

"Sekiranya mahukan sokongan 100 peratus maka setiap pemain terutama pemain import ini memberikan sepenuh komitmen kepada pasukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain