suria

Terengganu Ambil Empat Pemain Import Untuk Piala AFC

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan mendaftar empat orang pemain import bagi menghadapi saingan Liga Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) yang bermula Mac ini.

Pengurus pasukan Datuk Che Mat Jusoh berkata buat masa ini Terengganu sudah mempunyai dua pemain dan sedang mencari dua lagi pemain bagi memantapkan pasukan.

"Sekarang ini kita sedang uji pemain dan sekiranya memuaskan kita akan gunakan khidmat mereka untuk menghadapi kejohanan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Che Mat yang juga Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) inilah pertama kali dalam sejarah Terengganu mendapat peluang beraksi dalam kejohanan itu.

Terengganu akan menghadapi kelab dari Singapura, Vietnam dan Hong Kong dan sasaran Terengganu ialah melangkah ke pusingan kedua kejohanan itu, katanya.

Che Mat berkata perlawanan tersebut tetap akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dan persatuan itu tidak bercadang mengadakan perlawanan di negeri lain walaupun pada waktu siang untuk menjaga hati peminat.

Beliau berkata Piala AFC merupakan pertandingan peringkat antarabangsa dan sebab itu Terengganu mahu peminat-peminat pasukan itu menyaksikan pertandingan berprestij itu.

Che Mat berkata usaha untuk meningkatkan pencahayaan lampu limpah d SSINS mencapai tahap piawaian Piala AFC mungkin tidak kesampaian memandangkan masa begitu suntuk.

Namun begitu, beliau berkata usaha untuk membaiki lampu limpah yang memerlukan bajet sekurang-kurangnya RM2 juta akan diteruskan bagi kegunaan pertandingan-pertandingan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Che Mat berkata SSINS telah diluluskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk pertandingan Liga Malaysia pada waktu malam.

Sebelum ini, beliau berkata stadium yang berusia lebih 35 tahun itu menghadapi masalah kerana pencahayaan lampu limpah tidak mencapai tahap yang diperlukan iaitu 800 lux.

Beliau berkata jawatankuasa pertandingan tempatan FAM telah membuat tiga kali pemeriksaan ke atas stadium itu sebelum diluluskan.

Liga Malaysia akan bermula pada 10 Jan ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain