suria

Rooney Sah Digugur Kerana Langgar Disiplin Tapi Tidak Bergaduh Dengan Fergie

MANCHESTER: Penyerang Manchester United yang digugurkan dalam perlawanan menentang Blackburn Rovers Sabtu lalu, Wayne Rooney tidak berada dalam situasi yang mana beliau dikatakan bergaduh dengan pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson.

Sebaliknya menurut satu sumber yang rapat dengannya, Rooney telah menerima hukuman disiplin yang dikenakan ke atasnya oleh pengurus itu setelah dia didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Disamping hukuman digugurkan dari skuad utama dalam perlawanan tersebut, Rooney juga dikatakan telah dikenakan hukuman potongan gaji selama seminggu iaitu £200,000.

Rooney bersama-sama dua lagi rakan sepasukannya iaitu Jonny Evans dan Darron Gibson telah diarahkan menjalani latihan berganda dan kemudian digugurkan dari skuad utama selepas mereka didapati keluar makan malam bersama isteri dan kekasih masing-masing selepas United menewaskan Wigan 5-0.

Tidak ada bukti yang menunjukkan ketiga-tiga mereka telah berkelakuan tidak senonoh atau mabuk ketika keluar bersama tetapi adalah difahamkan Ferguson tidak bertolak ansur ke atas mana-mana pemain yang didapati melanggari peraturan kelab atau melanggari arahan yang dikeluarkan.

Sepanjang sejarah kariernya sebagai pengurus United, Ferguson tidak takut untuk bertindak menguggurkan pemain bertaraf bintang termasuklah David Beckham, Roy Keane dan banyak lagi.

Beliau menjual Beckham kepada Real Madrid tidak lama selepas bertelagah dengan pemain popular itu di dalam bilik persalinan selepas satu perlawanan yang membawa kepada kekalahan United.

Ferguson juga tidak menyambung semula kontrak kaptennya Roy Keane selepas pemain berpengaruh itu mengkritik secara berlebihan rakan-rakan sepasukannya yang lain dalam satu temuramah dengan stesen TV United sendiri.

Beliau juga sanggup menjual penyerang kesayangannya Ruud Van Nistelrooy selepas pemain itu tanpa henti-henti mempersendakan Ronaldo sepanjang sesi latihan.

Sebelum itu beliau turut menjual pemain-pemain berpengaruh seperti Jaap Stamp, Paul McGrath dan Paul Ince kerana tidak sehaluan dengannya, mengkritiknya atau melanggar disiplin.

Pemain-pemain senior yang lain seperti Ryan Giggs, Paul Schole dan Gary Neville dikatakan dapat bertahan laman di United malah masih berada dalam pasukan pengurusan sama ada sebagai jurulatih dan pemain adalah kerana mereka sentiasa akur dan mengelak daripada bertelagah dengan Ferguson.

Artikel Lain