suria

Tun Khalil & Ali Rustam Tunjuk Semangat Kesukanan Yang Tinggi

MELAKA: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengetuai lebih 2,000 penunggang basikal sempena Program Jelajah Basikal Melaka 2012 sempena sambutan ulang tahun ke-750 Melaka, pada Ahad.

Program dua hari untuk kayuhan sejauh 242 kilometer merentasi kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dijangka disertai keseluruhan 7,000 peserta.

Para penunggang mula berkumpul bermula di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak pukul 6.30 pagi sebelum upacara pelepasan pada pukul 8 pagi menuju ke destinasi pertama di Taman Rempah di DUN Kota Laksamana sejauh 5.1 kilometer.

Mohd Khalil dan Mohd Ali serta Speaker DUN Melaka Datuk Wira Othman Muhammad mengetuai kumpulan pertama tetamu kenamaan pada program itu yang turut disertai peserta remaja, veteran dan penjawat awam serta kakitangan swasta.

Cuaca cerah dan cuti umum sempena tahun baru menyaksikan para peserta begitu bersemangat untuk program yang julung kali diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

Hari ini, para peserta akan berkayuh sejauh 112 kilometer dan antara laluan ialah Perigi Hang Li Poh, Telok Mas, Pengkalan Renggam, Semabok, Serkam, Sungai Rambai, Merlimau, Simpang Kerayong, Kesang, Bukit Sedanan, Durian Tunggal, Gangsa, Batu Berendam dan berakhir di tempat permulaan pada kira-kira pukul 9 malam.

Esok, para peserta akan berbasikal sejauh 130 kilometer menuju ke Bachang, Pokok Mangga, Klebang, Pantai Kundur, Sungai Udang, Masjid Tanah, Tanjung Bidara, Kuala Sungai Baru, Ramuan China, Ayer Kuning, Brisu, Simpang Ampat, Gadek, Alor Gajah, Paya Rumput, Stadium Hang Jebat, Sungai Putat, Bukit Beruang dan Dataran MBMB sebagai destinasi terakhir.

Mohd Ali ketika berucap sebelum permulaan program itu berkata objektif berbasikal itu selain membudayakan aktiviti sukan berbasikal juga sebagai program turun padang oleh pemimpin masyarakat bertemu rakyat di seluruh pelusuk negeri ini.

"Saya juga yakin aktiviti ini dapat memantapkan lagi ikatan perpaduan serta semangat kerjasama dalam pelbagai bidang dan menerapkan nilai-nilai murni," katanya yang dijangka akan berkayuh kesemua destinasi sejauh 242 kilometer itu. -BERNAMA

Artikel Lain