suria

PSG Berjaya Perolehi Tanda Tangan Ancelloti Sebagai Pengurus Baru

PARIS: Pendahulu liga Perancis, Paris St Germain (PSG) mengesahkan cita-cita mereka untuk menjadi gergasi Eropah dalam erti kata yang sebenarnya dengan memperolehi tanda tangan bekas pengurus Chelsea, Carlo Ancelloti sebagai pengurus baru.

Walaupun PSG kini mendahului liga tetapi mereka begitu nekad untuk menamatkan kontrak pengurus sekarang, Antoine Kombouare semata-mata untuk mengejar cita-cita tersebut dan percaya hanya Ancelloti yang mampu berbuat demikian.

PSG yang kini mewah dengan wang pelaburan Yayasan Qatar turut menyatakan hasrat mereka secara terbuka untuk memperolehi khidmat David Beckham yang akan tamat kontrak dengan LA Galaxy esok (1 Januari 2012).

Namun begitu bekas kapten pasukan kebangsaan England itu masih berbelah bahagi sama ada akan menerima tawaran mewah bernilai berjuta pound sterling untuk tempoh 18 bulan kontrak sahaja.

Selain Ancelloti, PSG juga turut mengumumkan pelantikan bekas kapten Perancis, Claude Makelele sebagai penolong pengurus. Makelele sepertimana Ancelloti pernah bersama Chelsea sebelum bersara.

Sejak keluarga diraja Qatar mengambil alih PSG, mereka telah mengepam masuk wang pelaburan yang begitu banyak termasuklah dengan memperolehi khidmat pemain sensasi Argentina dari kelab Palermo, Itali, Javier Pastore.

Ancelloti yang dipecat oleh Chelsea selepas tamat musim lalu masih menerima gaji daripada kelab London itu dan perjanjian pembayaran gaji itu hanya akan terbatal dengan sendirinya apabila beliau menandatangani kontrak baru bersama kelab lain.

Artikel Berikut

Artikel Lain