suria

Malaysia Berada Pada Landasan Betul Raih Emas Pertama Di Olimpik London

PUTRAJAYA: Malaysia berada pada landasan betul untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik London pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun masih tidak ramai atlet negara yang berjaya melayakkan diri ke sukan temasya itu, namun pemburuan mata kelayakan sedang rancak berjalan.

Beliau menyaran atlet negara, khususnya di bawah 'Program Road To London 2012' berusaha bersungguh-sungguh untuk memburu mata kelayakan bagi mendapat tempat pada Sukan Olimpik London nanti.

"Kini, tidak ramai atlet negara yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik London kerana mereka perlu melalui beberapa peringkat kelayakan mengikut jadual masing-masing.

"Bagi mereka (atlet) yang telah melayakkan diri, saya mengucapkan tahniah dan bagi mereka yang belum (layak), berusahalah bersungguh-sungguh untuk membolehkan diri layak bersaing di Sukan Olimpik London nanti," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Shabery menyaran atlet negara yang bakal beraksi di Sukan Olimpik London untuk berlatih bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan sepenuhnya bagi mempertahankan maruah negara di sukan temasya itu.

"Anda (atlet negara yang telah layak) menjadi harapan negara dan harus berlatih bersungguh-sungguh untuk meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik," katanya apabila ditanya harapan Tahun Baru apabila 2012 merupakan tahun penting bagi atlet negara.

Kini, seramai tujuh atlet negara telah berjaya mendapat tiket kelayakan untuk beraksi di Sukan Olimpik 2012.

Mereka yang berjaya mendapat tiket awal ke London ialah empat pemanah negara iaitu Cheng Chu Sian, Khairul Anuwar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Nurul Syafiqah Hashim dan tiga penerjun negara iaitu Bryan Nickson Lomas, Pandelela Rinong dan Yeoh Ken Nee.

Pemburuan mengumpul mata kelayakan bagi acara seperti badminton dan berbasikal sedang rancak berjalan dan keputusan akhir bagi atlet yang layak dijangka diketahui pada Mei depan.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) telah menyenaraikan enam acara sukan yang berpotensi untuk menyumbang pingat di Sukan Olimpik London iaitu badminton, berbasikal trek, terjun, menembak, memanah dan hoki yang diletakkan dalam program 'Road To London 2012'.

Berhubung penggantungan dua tahun ketua jurulatih karate P. Arivalagan oleh Persekutuan Karate Asia (AKF) yang didakwa mempertikaikan keputusan pengadil semasa Sukan SEA di Indonesia, Ahmad Shabery berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan persekutuan bertanggungjawab.

Sebelum itu, Ahmad Shabery telah menghadiri Karnival Mini Hari Belia Negara 2012 di Laman 1Malaysia di sini Sabtu.

Ia merupakan 'build-up programme' kepada Himpunan Jutaan Belia di sini bermula pada 23 hingga 27 Mei 2012.

Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan dua juta belia akan mengunjungi Putrajaya dalam tempoh lima hari itu.

Sebanyak 500 acara akan disediakan dalam 28 segemen. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain