suria

Misi Olimpik London Samar Buat Amirul Hamizan

KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada menyertai mana-mana kejohanan kelayakan Sukan Olimpik London.

Atlet berusia 30 tahun yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing, China, pada 2008, berkata beliau ingin memberi tumpuan kepada beberapa perkara terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada ingin bersara atau berehat seketika dari arena angkat berat.

"Saya ingin berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu bagi menyelesaikan beberapa masalah agar ianya tidak menjejaskan tumpuan jika ingin memulakan pemburuan tiket ke London bermula tahun depan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Amirul Hamizan berkata beliau memang mempunyai impian untuk melayakan diri sekali lagi ke temasya Olimpik namun oleh kerana terdapat halangan tertentu, beliau terpaksa melupakan hasrat tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai masalah yang dihadapinya.

Sukan Olimpik London akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos tahun depan.

Atlet berasal dari Kuala Rompin, Pahang itu berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan MSN dan badan induk sukan tersebut telah banyak memberi bantuan kepada atlet angkat berat selama ini.

Badang negara itu pernah meraih pingat emas di temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India apabila berjaya membuat angkatan beban 141 kg bagi acara Clean dan Jerk.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong yang dihubungi Bernama berkata pihaknya sedia mendengar sebarang masalah yang dihadapi oleh atlet tersebut dan akan cuba menyelesaikannya.

"Saya ada terdengar bahawa ada beberapa atlet angkat berat menghadapi masalah dengan persatuan namun saya belum terima laporan rasmi berhubung isu tersebut.

"Malah saya tidak tahu sama ada masalah yang dihadapi oleh Amirul Hamizan berkaitan dengan persatuan atau tidak," katanya.

Beliau berkata selepas Sukan Komanwel India 2010, Amirul Hamizan ada menyatakan hasratnya untuk berehat seketika dan MSN telah memberi kelulusan bagi memastikan bahawa atlet tersebut bersedia untuk menghadapi cabaran Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014 nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain