suria

Kannathasan Ingin Sertai Banyak Kejohanan

KUALA LUMPUR: Biarpun kuartet 4x400 meter yang meraih emas Sukan SEA yang lepas di Indonesia masih tiada ketua jurulatih, seorang daripada mereka berazam mahu menimba pengalaman dan meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan pada tahun hadapan.

S.Kannathasan, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, berkata meskipun membuat latihan secara berasingan bersama jurulatih masing-masing, itu tidak bermakna mereka sukar menguruskan masa dan tiada keserasian.

"Latihan berasingan ini tidak susah tetapi saya harapkan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) perlu sedikit sebanyak mendedahkan kami berempat dengan kejohanan di dalam mahupun di luar negara.

"Sekiranya kami semua selalu digabungkan, ia mungkin menjadi kebiasaan pada masa akan datang untuk kami berempat lebih yakin menghadapi cabaran kejohanan lebih besar," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Selain Kannathasan yang dibimbing oleh jurulatih Hamberi Mahat, tiga lagi iaitu P. Vuvaraj pula dikendalikan oleh T. Krishnan manakala Schzuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus La Salleh dilatih oleh P. Jayabalan.

Kannathasan, 21, atlet kelahiran Kuala Lumpur, berkata beliau tidak pasti siapa akan menjadi ketua jurulatih elit namun mengharapkan jurulatih itu peka dan memahami masalah atlet.

"Sekiranya KOM telah mempunyai jurulatih untuk kami, saya tetap akan berbincang dulu dengan jurulatih saya kerana saya tidak mahu membelakangkan dia," katanya.

Kannathasan berkata beliau akan menyertai kejohanan Sukan Universiti Asean di Laos pada Disember dan Sukma di Pahang Julai tahun depan mewakili Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain