suria

ISN Cari Bakat Baru Di Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) mempunyai peranan besar dalam mencungkil bakat-bakat baru peringkat akar umbi menerusi program pencarian bakat yang giat berjalan di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Katanya usaha berkenaan dikendalikan secara berterusan oleh ISN dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah terpilih pada setiap tahun.

Beliau berkata ISN mendapat maklumat balas positif daripada ibu bapa dan pelajar yang menunjukkan minat dalam sukan.

"Ini membuktikan masyarakat Malaysia memilih sukan sebagai gaya hidup sihat dan ibu bapa juga mula percaya bahawa sukan boleh dijadikan sebagai kerjaya hidup untuk masa depan anak mereka," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Ramlan berkata selain daripada program pencarian bakat baru dan program cari juara yang sedang berjalan di seluruh negara, ISN bercadang untuk memperluaskan lagi program itu bagi membuka lebih peluang terutamanya kepada pelajar di luar bandar.

Beliau berkata bidang tugas ISN hanya membekalkan bakat-bakat baru kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk digilap menjadi atlet negara.

Ramlan berkata usaha itu sejajar dengan Dasar 1Murid 1Sukan yang dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Dasar itu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlet sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.

Ramlan berkata pelajar yang tidak berjaya melepasi tapisan program pencarian bakat tetapi mempunyai minat dalam sukan turut diberi peluang dan IS Nsedia menghulurkan bantuan kepada pelajar terbabit jika mereka membuat permohonan.

"Kita memberi galakan kepada ibu bapa yang berminat untuk menjadikan anak mereka sebagai ahli sukan dengan bantuan kepakaran sains sukan yang terdapat pada ISN dengan bayaran rendah," katanya.

Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi terus ISN menerusi laman web http://www.isn.gov.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain