suria

FAM Selaras Harga Tiket Final Piala Malaysia, FA

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyelaraskan harga tiket untuk saingan final Piala Malaysia dan Piala FA serta perlawanan melibatkan pasukan senior kebangsaan dan Harimau Muda A kepada satu harga bagi semua tempat duduk bermula musim depan.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata harga tiket untuk perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA ditetapkan pada kadar RM40 manakala harga tiket bagi perlawanan persahabatan melibatkan pasukan senior kebangsaan dan Harimau Muda A ditetapkan pada RM20.

Beliau berkata untuk pertandingan berkumpulan untuk sesuatu kejohanan melibatkan kedua-dua pasukan tersebut bagaimanapun ditetapkan sebanyak RM30 untuk pusingan awal, RM40 untuk separuh akhir dan RM50 untuk perlawanan akhir.

"Bagi perlawanan Piala Sumbangsih dengan Kelantan menentang Negeri Sembilan pada 7 Jan ini di Kota Baharu, tiket ditetapkan pada kadar RM15 untuk tempat duduk terbuka dan RM30 untuk tempat grandstand.

"Kita memutuskan harga sedemikian setelah mengadakan perbincangan mendalam dengan Jawatankuasa Tiket dan Pintu dan harga tiket ini mungkin kekal untuk beberapa musim," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Bola Sepak Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, Khamis.

Mengulas mengenai kesediaan stadium-stadium untuk perlawanan Liga Malaysia musim depan, Hamidin berkata 11 stadium dibenarkan oleh FAM untuk digunakan pada sebelah malam manakala tujuh stadium digunakan pada siang ekoran masalah lampu limpah dan padang rumput.

Sebelas stadium berkenaan ialah Stadium Utama Negeri Kangar (Perlis), Stadium Darul Aman (Kedah), Stadium Perak, Stadium Mini Universiti Sains Malaysia (USM), Stadium Sultan Mohamad ke-IV (Kelantan), Stadium Mini Temerloh (Pahang), Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi (Negeri Sembilan), Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Stadium Negeri (Sarawak).

Beliau berkata tujuh stadium yang akan digunakan pada waktu siang ialah Stadium Likas (Sabah), Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Terengganu), Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Stadium Hang Tuah dan Stadium Hang Jebat (Melaka), Stadium Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Stadium Batu Kawan.

"Bagi pasukan negeri dan kelab yang bermain pada waktu siang, mereka masih boleh menghantar rayuan dalam masa tujuh hari kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan untuk pertimbangan bagi pemeriksaan semula keadaan stadium," katanya.

Hamidin berkata Stadium Shah Alam, Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di Cheras dan Stadium Larkin di Johor masih ditutup untuk pembaikan rumput dan lampu limpah dan hanya boleh digunakan untuk saingan Liga Malaysia pada Mac atau April depan.

"Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang pula hanya akan dibuka selepas berakhirnya Sukan Malaysia (SUKMA) pada Julai atau Ogos nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain