suria

Shabery Minta Misbun Dan BAM Berdamai Demi Badminton Negara

KEMAMAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek mencari satu formula untuk mengubat 'kerinduan' pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei terhadap bekas jurulatihnya itu.

Beliau berkata kedua-dua pihak perlu meletakkan soal menjaga air muka masing-masing ke tepi, sebaliknya meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan demi masa depan badminton negara.

"Kedua-dua perlu mencari formula, jangan terlalu fikir soal air muka masing-masing kerana kepentingan negara lebih penting. Ini bukan soal nak jaga air muka sesiapa kerana tiada air muka sesiapa pun yang terjejas.

"Sekarang ini Misbun takut air muka beliau terjejas kalau kembali, BAM pula takut dikatakan menjilat ludahnya kembali. Yang paling penting sekarang air muka negara yang perlu dijaga," katanya kepada Bernama di sini Isnin, sebagai mengulas hasrat Chong Wei yang ingin mendapatkan Misbun sebagai jurulatihnya.

Bagaimanapun Misbun dalam laporan akhbar seakan merajuk dengan BAM dan enggan memikirkan soal itu kerana berpendapat badan induk badminton negara itu mempunyai ramai pakar yang layak menentukan apa yang terbaik untuk Chong Wei mengapai misi mencapai emas dalam Sukan Olimpik London 2012 nanti.

Prestasi Chong Wei kebelakangan ini menimbulkan kerisauan apabila gagal melayakkan diri dalam tiga kejohanan terakhir yang disertainya iaitu Terbuka Hong Kong, Terbuka China dan Siri Super Master.

Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata perkara itu perlu dipandang serius oleh pihak berkenaan.

"Ini soal kerinduan Chong Wei yang hanya boleh diubat oleh Misbun, sebab sebelum ini banyak bola (percaturan dan strategi) terletak di kaki Misbun. Apakah untuk mengubat rindu Chong Wei, beliau perlu melepaskan diri daripada BAM?

"Atau apakah Misbun perlu bersedia berkompromi kembali ke BAM atau BAM mencari formula lain utuk membolehkan Chong Wei berdampingan dengan BAM tanpa perlu terikat dengan BAM," katanya.

"Yang penting kita nak lihat Chong Wei boleh beri pingat emas dalam Sukan Olimpik. Demi kepentingan negara, kedua-dua perlu buka pintu rundingan. Kalau dahulu isunya panas hati dan rasa terkilan, tetapi perkara ini dah lama.

"Berapa lama lagi nak berbalah, kepentingan negara mesti diletakkan sebagai keutamaan mengatasi segalanya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain